Video oleh SOFIAN BAHAROM

Perodua menawarkan lima va­rian Myvi serba baharu berkapasiti enjin 1.3 liter hingga 1.5 liter pada harga bermula daripada RM44,300 sehingga RM55,300 sebuah tidak terma­suk insurans yang kini mula dijual di pusat-pusat pameran Perodua di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, 78 peratus daripada 5,000 unit tempahan awal itu melibatkan model berkapasiti enjin 1.5 liter manakala selebihnya adalah 1.3 liter.

Beliau menjelaskan, model ba­ha­ru itu menawarkan teknologi mo­den, rekaan berteras keremajaan (youthful), ruang versatil dan keselamatan pintar menggantikan model sebelumnya yang merupakan model paling banyak dijual di Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.

“Model baharu ini adalah rekaan oleh kita sepenuhnya. Ia adalah hasil rekaan 59 pereka tempatan. Tidak timbul soal mengambil dari pihak lain. Kalau ada persamaan secara kebetulan tetapi kita telah melalui sejumlah mesyuarat untuk kelulusan reka bentuknya. Kita bukan syarikat rebadge.

“Kereta baharu ini mengete­ngahkan teknologi yang sebelum ini hanya terdapat pada kereta-kereta premium. Myvi baharu ini juga menetapkan penanda aras untuk kita dalam aspek kualiti, reka bentuk dan tawaran ke­seluruhan untuk model masa depan kita,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran model tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Daihatsu Motor Co. Ltd., Soichiro Okudaira.

Dalam pada itu, tambah Aminar Rashid, Perodua menyasarkan pengeluaran sebanyak 75,000 hingga 80,0000 unit kereta Myvi setahun dengan sasaran penjualan sebanyak 6,000 unit kereta berkenaan setiap bulan.

Ditanya tentang pengeskportan model baharu itu ke negara-negara lain, beliau berkata, Perodua ketika ini memberi fokus dalam memenuhi permintaan domestik terlebih dahulu sambil membe­ritahu, rekaan model berkenaan adalah mengikut citarasa rakyat Malaysia selain trend global.

Lima varian ditawarkan me­rangkumi transmisi manual (MT) dan automatik (AT) iaitu Myvi 1.3 Standard G (MT), 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT) dan 1.5 Advance (AT).