Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holding Berhad, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, antara peruncit yang ditempatkan dalam pusat beli-belah tersebut adalah kedai makanan dan minuman (F&B) Spetta Espresso Bar dari Australia, fesyen jenama HLA dan Hotwind dari China, serta F&B Hillstreet Coffee Shop dan The Dark Gallery dari Singapura.

“Pusat beli-belah ini dibina di atas tapak seluas 1.6 juta kaki persegi termasuk IKEA Malaysia menawarkan sebanyak lebih 400 peruncit pelbagai jenama dari dalam dan luar negara.

“Pusat ini turut mengetengahkan konsep ruang makan terbuka, taman di luar bangunan, serta campuran beberapa penyewa berjenama antarabangsa yang ditetapkan sekali gus menjadikan tempat pertemuan masyarakat di ibu negara,” katanya ketika ber­ucap merasmikan majlis pelancaran pembukaan pusat beli-belah MyTown di sini hari ini.


Video oleh FAUZI SUHAIMI

Turut hadir Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara, Christian Rojkjaer.

Lodin Wok berkata, sebanyak 6,500 ruang tempat letak ken­deraan turut disediakan selain kemudahan laluan yang dibina khas melalui Lebuhraya Maju Express Way (Mex) yang akan siap sepenuhnya pada Jun depan.

“Menariknya pusat beli-belah ini adalah kerana lokasi yang strategik dan berdekatan dengan pusat bandar,” katanya.

Sementara itu, Rojkjaer berkata, pusat beli-belah itu merupakan antara pasar raya yang unik dan bercirikan pembangunan jangka masa panjang.

“Bangunan ini dibina dan direka khas mengikut strategi dan komitmen kelestarian indek pemba­ngunan hijau (GBI) serta pensijilan kepimpinan reka bentuk tenaga dan alam sekitar (LEED)” ujarnya.



Video oleh NUR ANIS FARHANAH ABD. MALEK