Video ihsan MaGIC

Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) dalam kenyataan di sini berkata, di MA2017, pihaknya mahu membuka minda orang ramai dan menunjukkan bahawa inovasi boleh dicapai apabila usahawan memiliki minda yang progresif dan kental.

Malah, kata MaGIC, pihaknya juga mahu melihat kepada penyelesaian masalah dan proses baharu sebagai cara hidup serta menganggap kegagalan sebagai keluk pembelajaran dan bukannya pengakhiran kepada sesebuah permulaan perniagaan.

“MA2017 adalah unik jika dibandingkan dengan acara permulaan perniagaan yang lain kerana ia bukan sahaja menjadi platform untuk bertukar-tukar idea, malah menyasarkan untuk melengkapkan peserta dengan kemahiran yang ketara, pembelajaran yang sebenar, pengetahuan berharga dan pengalaman yang relevan,” jelas MaGIC.

MA2017 adalah acara keusahawanan utama MaGIC yang diadakan secara tahunan sejak 2014.

MA2017 berlangsung selama empat hari bermula 4 Oktober ini di Bangunan MaGIC di Cyberjaya, dekat sini.

Simposium memasuki tahun keempat yang menumpukan kepada tema keusahawanan disruptif dijangka disertai lebih 2,500 peserta.
Menurut MaGIC, MA2017 yang merupakan simposium permulaan perniagaan paling menyeluruh di rantau ini akan menutup tirainya dengan satu pameran kerjaya.

Pameran kerjaya, kata kenyataan itu adalah antara yang terbesar di Asia Tenggara.

“Tahun ini, MA2017 akan melengkapkan pencari kerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam proses pengambilan kerja melalui kelas khusus mengenai resume, surat pengiring, temu duga dan banyak lagi,” ujarnya.