Mula-mula melihat fizikalnya, terus terang penulis agak cuak dengan jentera bersaiz 2,630 mi­limeter (mm) panjang dan 1,000 mm lebar ini.

Walau bagaimanapun seperti ungkapan Inggeris, saiz bukan ukuran, motosikal buatan Amerika Syarikat (AS) ini sebenarnya mudah dikendalikan.

Menyusuri pusat bandar ketika membawanya keluar dari Naza World Automall di Pe­t­a­ling Jaya menuju pejabat di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi ternyata tidak sukar, Chief Classic mampu mencelah deretan kenderaan.

Namun, penulis perlu sedikit berhati-hati, takut hendal tersangkut cermin pandang sisi kereta. Keadaan ini menyebabkan bahagian depan agak terhoyong-hayang pada mulanya untuk diimbangi tetapi lama-kelamaan penulis mampu mengikut ‘rentaknya’.

Dibantu dengan tinggi tempat duduk 660mm, mudah buat penulis untuk mengimbangi jentera seberat 350 kilogram ini ketika jalan sesak dan semasa berhenti di lampu isyarat merah.

Sebagai sebuah kruiser, Chief Classic ternyata memberi ke­puasan dari segi tunggangan ia­itu santai dan selesa.

Ketika perjalanan jauh, belakang pinggang penunggang disokong tempat duduk yang lebar. Rasa relax dan mengasyikkan semasa menyusuri Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) sejauh 44.3 kilometer (km).

Tiada rasa gegaran daripada enjin Thunder Stroke 111 V-Twin berkapasiti 1,811cc, meluncur dengan lancar.

Kuasa kilas juga tinggi. Dalam kedudukan gear enam pun kadang-kala tidak perlu menukar ke gear lebih rendah untuk memecut. Pulas sahaja pendikit, motosikal ini terus menderu laju ke depan.

Bagaimanapun, mungkin tidak biasa menunggang ‘motor kangkang’, penulis rasa agak ‘perit’ ketika melebihi 140 kilometer sejam (km/j) disebabkan tamparan angin.

Meskipun demikian, pada kelajuan 120km/j, ia sangat selesa serta menyeronokkan. Tapi bagi penulis, ia bukan isu besar kerana boleh diatasi dengan pemasangan perisai angin.

Penulis juga sempat ‘melayan’ jentera ini di dua, tiga selekoh semasa susur keluar dan masuk Lekas. Ternyata ia stabil dan cukup meyakinkan.

Dari segi penampilan, Chief Classic sememangnya nampak lain daripada yang lain. Dengan reka bentuk klasik, seni binanya cukup halus dan unik.

Dari lingkaran warna putih pada tayar sehinggalah bahagian-bahagian krom pada komponennya, kehadirannya sentiasa mencuri tumpuan ramai.

Disokong bunyi ekzos yang garang dan padu, banyak mata pasti menoleh ke arahnya.

Ternyata jentera ini sukar ditandingi oleh model-model lain. Tidak hairanlah ada yang beranggapan memiliki Chief Classic umpama mempunyai Cadillac dua roda!

Walaupun reka bentuknya klasik, enjin dan kelengkapan yang dipasang adalah canggih. Peralatannya mesra pengguna dengan suis-suis mudah dicapai dan dikendalikan. Begitu juga papan pemuka, senang dibaca dan tidak merumitkan.

Bagi yang mementingkan gaya dan produk premium, Chief Classic adalah pilihan amat sesuai. Ia ditawarkan pada harga RM180,000.