Video oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN & IZZUL AHMAD

Ikutkan hati, mahu sahaja penulis terus menunggang sama ada ke utara atau selatan Semenanjung.

Perasaan itu mungkin tercetus kerana G310 GS sememang­nya dibuat bagi tujuan sedemikian, dengan fizikalnya yang tinggi dan duduk tegak membolehkan si penunggang melihat jauh sekali gus bersedia untuk berdepan apa juga cabaran.

Ditambah handlebar lebar dengan keselesaan posisi footpeg selain suis serta paparan papan pemuka yang senang dibaca, menjadikan tunggangan cukup me­nyeronokkan dan santai.

Meskipun pada mulanya tinggi tempat du­duk 835 milimeter (mm) agak merisaukan kerana penulis mungkin terpaksa mencari pembahagi jalan setiap kali berhenti, sangkaan itu meleset selepas melabuhkan punggung di atas pelana.

Memang penulis yang berke­tinggian 164 sentimeter (cm) perlu menjingkitkan kaki semasa berhenti tetapi keadaan tersebut tidak membebankan kerana jentera dual purpose ini ringan, hanya 169.5 kilogram (kg).

Apatah lagi panjangnya 2,075 mm dan lebar termasuk cermin sisi 880 mm, sesuai sangat untuk newbie atau mereka yang baru berjinak-jinak dengan ‘motor besar’.

Namun demikian, agak melecehkan ketika mahu menopang dan menaikkan tongkat sisi yang pada pandangan penulis terlalu panjang.

Dilengkapi enjin 4-lejang satu silinder berkapasiti 313 cc, kelajuan bukanlah kelebihan jentera ini kerana laju maksimum di atas kertas hanyalah 143 kilo­meter/jam (km/jam).

Kalau nak berkonvoi untuk perjalanan jauh, mungkin perlu cari jentera yang lebih kurang sama kapasiti enjinnya, takut ketinggalan terutama di lebuh raya.

Walau bagaimanapun bagi penulis, itu bukan isu besar kerana dalam kelajuan antara 130 hingga 140 km/jam, enjin dilengkapi pendingin air ini cukup lancar, justeru tiada masalah kalau nak ikut jentera yang memiliki cc lebih besar.

Di dalam bandar pula, G310 GS memang ‘nakal’. Laluan berlubang dan bonggol yang sememangnya banyak di Lembah Klang bukan masalah, redah sajalah.

Dengan fork terbalik 41mm di depan dan monoshock boleh laras di belakang, jentera ini mengikut sahaja ‘alunan’ jalan raya.

Justeru, memang sesuai sa­ngat motosikal ini dijadikan ke­gunaan harian pergi-balik kerja, ditambah sudah disediakan luggage carier yang boleh dipasang tail box bagi menyimpan keperluan asas seperti topi keledar, baju hujan dan sebagainya.

Keadaan sama dialami penulis di ‘Litar Lumba Antarabangsa Kuala Klawang’ (KKIC) yang ada 231 selekoh.

Tidak risau untuk ‘meleper’ dengan tayar Metzeler Tourance 110/80 R19 di depan dan 150/70 R17 di belakang manakala sistem brek antikekunci (ABS) menambahkan lagi keyakinan walaupun kelihatan ada kerikil di atas jalan.

Tidak lengkap rasa­nya kalau tidak diuji di laluan dengan rupa bumi mencabar.

Meskipun sekadar di ta­pak pembinaan yang berbatu-batan dan tanah lembut untuk mendapat ‘rasa’ jentera dual purpose, penulis dapat me­rasakan G310 GS amat menyeronokkan di laluan off road. Mudah dikawal dan tangkas.

Ditawarkan pada harga RM29,900 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST), memiliki G310 GS pastinya mencetuskan semangat mengembara setiap kali ditunggang.