AINUL HASNIZAM ABU HASSAN
AINUL HASNIZAM ABU HASSAN

Ketua Pegawai Eksekutif Brahim’s SATS Food Services (BSFS), Ainul Hasnizam Abu Hassan berkata, rundingan tersebut dilihat positif dan memberi peluang kepada syarikat memperluaskan lagi rantaian perniagaannya.

“Sekiranya menjadi kenyataan, perjanjian itu akan mempunyai kesan yang positif ke atas pendapatan Brahims's memandangkan bakal menyediakan perkhidmatan untuk 34 hingga 36 perjalanan setiap hari dengan KTMB.

“Selain rundingan bersama KTMB, kami juga sedang giat me­lonjakkan hasil perniagaan bukan penerbangan termasuk mengendalikan beberapa kafeteria di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membawa pihak media melawat operasi Brahim's Holding Bhd. menyediakan katering dalam pesawat yang turut disertai Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi.

Lawatan tersebut diadakan bersempena de­ngan sambutan memperingati jenama Brahim's selama 30 tahun dan sam­butan ulang tahun ke-15 syarikat berkenaan dalam penyediaan perkhid­matan katering bagi syarikat penerbangan.

Menurut Ainul Hasnizam, pihaknya menyasarkan perniagaan katering bukan penerbangan menyumbang 10 peratus kepada pendapatan syarikat dengan meraih antara RM30 juta hingga RM40 juta dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Ibrahim berkata, selaku pengeluar produk makanan halal, Brahim's yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang itu berhasrat menjadi syarikat inovasi nombor satu dalam penyediaan makanan pada 2020.

Bagi merealisasikan impian itu, pihaknya telah menyebarluaskan revolusi perniagaan halal menerusi perkilangan, perdagangan, latihan, pengurusan industri dan kejuruteraan melalui 13 anak syarikat di bawah kumpulan Brahim’s.

“Kami memahami penyelesaian komprehensif sangat penting untuk menjalankan perniagaan halal bagi pasaran tempatan dan global, untuk itu aspek keselamatan dan kebersihan perlu menepati piawaian yang ditetapkan.



“Dapur kami sentiasa dipantau untuk memenuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan yang tertinggi bagi memastikan kualiti pengeluaran mematuhi Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP),” katanya.

Ibrahim berkata, sehingga kini Brahim’s telah menyediakan perkhidmatan kepada 32 syarikat penerbangan termasuk empat syarikat penerbangan utama iaitu Qatar Airway, All Nippon Airway, Emirates dan Cathay Pacific Airway.

“Kami menyediakan hidangan antara 35,000 hingga 40,000 hidangan setiap hari dengan pengoperasian selama 24 jam. Pilihan menu pula dirancang dengan kerjasama pasukan perkhidmatan dari syarikat penerbangan yang terbabit,” katanya.

“Kami mempunyai 11 chef, 164 tukang masak dan 1,300 pekerja yang mengendalikan operasi penyediaan makanan di dapur penerbangan serba canggih yang menepati piawaian halal berkeluasan 59,000 meter persegi,” katanya.