Apatah lagi terpaksa membawa pulang jentera dengan enjin berkapasiti 1,170 cc ini dari pejabat BMW Malaysia Sdn. Bhd. di Cyberjaya menuju ibu negara ketika orang ramai berpusu-pusu pulang ke rumah selepas habis waktu kerja.

Walau bagaimanapun, kegusaran tersebut kian lama kian hilang selepas beberapa ketika bersamanya, bahkan penulis mampu menunggang sport tourer ini membuntuti kapcai semasa mencelah antara deretan kenderaan.

Ketika jalan raya sedikit lengang, penulis menukar kepada mod dynamic untuk merasai tindak balasnya.

Ternyata tindakan tersebut membolehkan jentera ini ditunggang secara lebih agresif sehinggakan penulis cukup yakin untuk ‘mencilok’ kenderaan lain walaupun di selekoh.

Justeru, terdetik dalam fikiran penulis, jika mahu dibuat sebagai kegunaan harian jentera seberat 214 kilogram (kg) ini dalam bandar pun dikira okey.

Ditambah dengan tinggi tempat duduk 820 mm, penulis yang bertubuh rendah tidak terasa ‘seksa’ apabila berhenti di lampu isyarat merah dan simpang jalan.

Masih belum rasa puas hati dengan kemampuan jentera buatan Jerman ini, penulis mengujinya pula di ‘Litar Lumba Antarabangsa Kuala Klawang’ yang mempunyai 231 selekoh pendek dan tajam di laluan sepanjang 40 kilometer (km).

Agak memeritkan buat penulis ketika di selekoh kerana terasa ‘berat’ di bahagian depan hingga terpaksa menggunakan sedikit kudrat kerana khuatir tidak ‘lepas’.

Mungkin belum ada chemistry antara penulis dan jentera BMW ini.

Namun adanya integral ABS (sistem brek antikekunci) yang membolehkan sensor pada roda depan dan belakang mengesan kadar kelajuan putaran tayar supaya tidak terkunci apabila membrek agak mengejut, membuatkan tahap keyakinan penulis tetap tinggi untuk ‘melayan’ selekoh-selekoh.

Menggunakan drive shaft, menukar gear semasa di selekoh juga terasa begitu lancar.

Meskipun tidak mampu menunggang laju semasa di selekoh disebabkan masih ‘takut-takut’, penulis tetap seronok kerana jentera ini cukup meya­kinkan.

Penulis percaya jika diberikan sedikit lagi masa, R 1200 RS mampu ‘dijinakkan’.

Semasa menunggang di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) pula, R 1200 RS tidak dinafikan memang ‘gagah’.

Dilengkapi enjin berkembar 4-lejang 2-silinder dengan kuasa 92 kW (125 bhp), jentera ini menyusuri lebuh raya dengan amat lancar.

Dibantu pula windshield boleh laras, keselesaan tempat duduk lebar, tidak terasa yang motosikal ini sedang ditunggang laju hingga tidak sedar jarum speedometer sudah cecah 200 km/jam!

Kesimpulannya bagi penulis, R 1200 RS adalah pilihan amat sesuai buat mereka yang tercari-cari sebuah sport tourer yang boleh disesuaikan di pelbagai laluan dan lokasi dituju.

Di lebuh raya, menunggang jentera ini terasa begitu yakin seperti membawa sebuah kende­raan besar tanpa ada perasaan sangsi tentang kestabilannya.

Melalui jalan ‘kampung’ penuh selekoh pula, R 1200 RS seolah-olah mengajak si penunggang menikmati keseronokan hingga mencetuskan ‘ketagihan’ untuk mencabar dan terus mencabar keupayaan diri di laluan sedemikian.

Di dalam bandar pula, model ini amat lincah. Seperti tidak kisah kalau terpaksa menempuh kota metropolitan semasa mengembara.

Senang cerita, R 1200 RS ini memang serba boleh.

Seperkara lagi tentang keistimewaan jentera ini adalah tidak memerlukan kunci untuk menghidupkan enjin, sekali gus tidak perlu bersusah payah mencarinya jika terlupa tempat disimpan.

Ditawarkan pada harga RM101,900 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST), R 1200 RS cukup berbaloi buat pencinta jentera dua roda yang gemar mengembara sambil sesekali ‘mengasah’ skil tunggangan.