Lasak

Ketika mengambil skuter ini di bilik pameran Boon Siew Honda di Kepong, Kuala Lumpur, hujan turun dengan lebat. Namun sengaja penulis tidak mahu menunggu kerana ingin mengujinya. Dalam perjalanan ke pejabat, beberapa laluan sudah pun dinaiki air hampir paras betis tetapi X-ADV selamba sahaja meredahnya. Adanya perisai angin dengan lima tahap pelarasan, muka dan badan penulis dilindungi daripada terjahan air.

Sememangnya X-ADV dilengkapi dengan ciri-ciri motosikal off-road. Ada handguard tahan lasak yang sama terdapat pada model Africa Twin, untuk melindungi tuil brek dan tangan daripada impak jika berlaku sesuatu tidak diingini semasa menunggang. Begitu juga reka bentuk papan pemuka digital, ikut gaya perlumbaan rali. Justeru, tidak lengkap rasanya kalau tidak dicuba di permukaan bukan tar untuk mendapatkan feel off-road meskipun sekadar denai di sekitar hutan simpan di Hulu Yam, Selangor. Dengan kelegaan lantai 135 mm, tayar depan 17-inci dan belakang 15-inci, jejari keluli tahan karat, ternyata mudah buat X-ADV melaluinya. Kononnya mahukan lebih mencabar, penulis ke trek motorcross pula, tapi malangnya tayar belakang terbenam dalam lumpur dan terus tersekat. Mungkin kemampuan X-ADV tidak sampai ke tahap laluan ekstrem.

Suspensi terdapat pada X-ADV juga sesuai untuk kegunaan dalam bandar yang banyak bonggol akibat jalan raya tidak diturap rata. Tidak perlu mengelak, redah sahaja dengan penuh yakin.

Macam sportbike

Sebelum ini, mana-mana skuter yang pernah penulis tunggang uji, setiap kali nak masuk-keluar selekoh, pasti mendebarkan kerana takut hilang kawalan. Antara puncanya adalah saiz tayar dan reka bentuk tidak sesuai. Tapi tidak bagi X-ADV. Semasa menguji di ‘Litar Lumba Antarabangsa Kuala Klawang’, jentera ini cukup cemerlang. Dipasang fork terbalik 41 milimeter (mm) di depan dan suspensi Pro-Link di belakang, setiap selekoh dikuasai dengan baik, antara berani dan tidak sahaja untuk ‘layan’. Sesekali double-stand menyagat jalan, pergh, cukup seronok! Hampir terlupa yang ditunggang adalah skuter, bukannya sportbike.

Untuk tunggangan agresif sebegini, penulis mempunyai pilihan mod gear. Selain mod biasa iaitu drive, boleh juga dipilih mod sport. Paling istimewa, ada mod manual! Cuma untuk pertukaran gear manual tidak memerlukan klac, cukup dengan hanya menekan suis bertanda + dan -. Pada mulanya agak kekok, namun rasa biasa selepas beberapa ketika.

Kuasa

X-ADV dipasang enjin empat lejang 745 cc dengan kuasa puncak 40.3 kW pada 6,250 rpm dan daya kilas maksimum 68 Nm pada 4,750 rpm. Semasa di lebuh raya, skuter ini mampu mencecah kelajuan lebih 180 kilometer/jam (km/j). Perisai angin banyak membantu mengalih tamparan angin dari depan, rasa cukup santai meskipun dalam kelajuan tinggi. Nak ikut berkonvoi dengan superbike pasti tiada hal.

Untuk perjalanan jauh pun cukup selesa. Dengan tinggi tempat duduk 820 mm dan bar hendal 910 mm memastikan penulis dapat melihat jauh ke depan sekali gus mempertingkatkan kawalan tunggangan dengan baik. Kedudukan kaki juga boleh diletakkan pada pelbagai kedudukan. Kalau terasa lenguh, boleh meluruskan atau membengkok kaki, ikut keselesaan.

Kuasa enjin dan kedudukan bar hendal seperti itu juga membantu penulis meluncur laju mencelah deretan kenderaan dalam kesesakan lalu lintas, tidak tersangkut cermin sisi kereta. Kapcai pun rasanya tidak selincah X-ADV!

Praktikal

Bagi kebanyakan bikers, nak usung topi keledar dan jaket ke hulu ke hilir memang terasa renyah. Dengan X-ADV tidak perlu risau. Di bawah tempat duduk ada ruang simpanan berkapasiti 21 liter, boleh memuatkan topi keledar, jaket, baju hujan dan sarung tangan. Di dalamnya juga ada soket untuk mengecas gajet, jadi tiada masalah kalau paras bateri telefon bimbit semakin rendah.

Selain itu, skuter ini menggunakan sistem kunci pintar. Tidak perlu risau kehilangan atau lupa mana kunci disimpan.

Mahal?

Ya, itu reaksi yang diterima apabila penulis memberitahu harga jentera Honda ini bermula daripada RM63,299. Namun bagi penulis, nilai sedemikian jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan, memang berbaloi.

Terdapat lima pilihan warna iaitu Candy Chromosphere Red, Digital Silver Metallic, Matt Bullet Silver, Pearl Glare White dan Grand Prix Red.

Kesimpulannya, pada pendapat penulis, tidak keterlaluan jika dikatakan memiliki sebuah skuter X-ADV juga seperti mempunyai motosikal jenis lain iaitu sportbike, off-road dan kapcai. Lengkap!

SUSPENSI

Depan teleskopik

Belakang pro link

RODA

Rim depan saiz 17 M/C MT 3.50

Rim belakang saiz 15 M/C X MT 4.50

Tayar depan 120/70 R17 M/C 58H

Tayar belakang 160/60 R15 M/C 58H

ENJIN

l Penyejuk cecair, 
4-lejang, OHC

l 745 cc

l Bor & Lejang (mm) 77 x 80

l Nisbah mampatan 10.7:0.2

l Kuasa maksimum 40.3 kW 
@ 6,250 rpm

l Daya kilas maksimum 68 Nm @ 4,750 rpm

SISTEM

l Karburasi PGM-FI

l Tangki penuh 13.1 liter

RANGKAIAN PEMACU

l Jenis transmisi pemacu rantai

CASIS

l Dimensi (PxLxT) 2,230 x 
910 x 1,345 mm

l Jarak roda 1,580 mm

l Tinggi tempat duduk 820 mm

l Kelegaan lantai 135 mm

l Berat 238 kg

BREK

Depan cakera berkembar hidraulik

Belakang cakera berkembar hidraulik

SPESIFIKASI X-ADV