Peralatan Chrome yang dilancarkan ini terdiri daripada tiga buah model Chromebook iaitu Chromebook R11, Chromebook 14 dan Chromebook 11 N7; dan sebuah Chromebox CXV2, yang sesuai digunakan bagi tujuan pendidikan dan juga perusahaan.

Menurut Pengurus Besar, Bahagian Produk, Jualan dan Pemasaran Acer Malaysia, Chan Weng Hong, pengenalan empat peralatan yang dipertingkatkan dengan ciri terbaharu itu mampu mengukuhkan lagi pegangan Acer yang kini menguasai 28 peratus pasaran dunia.

"Sehingga kini kami telah menjual lebih daripada 11 juta Chromebook dan kini kami berjaya menguasai pemasaran segmen ini selama tiga tahun berturut-turut sejak 2014," kata Chan ketika ditemui sejurus selepas melancarkan keempat-empat peralatan itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Program Pendidikan Google Malaysia, Rahayu Ramli, dan Pengurus Produk Komersil, Andy Tan.

Dua daripada model Chromebook yang ditawarkan - Chromebook 14 dan Chromebook 11 N7 - dilengkapi dengan ciri tahan lasak dan berjaya melepasi ujian penggredan tahan lasak Tentera Amerika Syarikat Standard STD 810G.

Selain kalis air, ia juga mampu menahan berat sehingga 60 kilogram, dan tahan lasak apabila dijatuhkan dari ketinggian sehingga 122 sentimeter.

Harga bagi Chromebook 11 yang hadir dengan dua spesifikasi adalah RM999 dan RM1,099, manakala Chromebook 14 pula RM2,299. - UTUSAN ONLINE


Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL