Pengurus Negara Veritas Malaysia, Audrey Chan berkata, adalah penting bagi setiap perusahaan untuk membangun dan melaksanakan strategi yang tepat dalam melindungi data menuju era digital.

Katanya, strategi itu memfokuskan tiga asas penting iaitu perlindungan, ketersediaan dan kefahaman data yang akan membantu organisasi memacu lebih nilai, selain mengurangkan kos dan risiko perniagaan.

“Sebahagian besar pelanggan strategi pengurusan data ini adalah perusahaan seperti perbankan sebagai majoriti, telekomunikasi dan insurans, serta syarikat milik kerajaan (GLC) seperti minyak dan gas dan utiliti.

“Melihat kepada maklum balas dan momentum positif diterima, Veritas percaya mampu berkembang dengan menarik minat lebih banyak industri selain daripada institusi kewangan,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kanan Kumpulan Penyelesaian Arkitek Jepun dan Asia Pasifik, Veritas Storage (Singapura) Pte. Ltd, Raymond Goh.

Veritas hari ini menganjurkan persidangan Hari Rumusan Wawasan dengan menghimpunkan pemimpin industri dan teknologi tempatan dalam memacu masa depan pengurusan data bagi perusahaan di Malaysia.

Chan berkata, persidangan diadakan bagi menawarkan pertukaran pandangan secara interaktif mengenai masa depan pengurusan data.