Pengarah Urusan VCM, Lennart Stegland berkata, sebanyak 1,889 buah kenderaan dieksport pada tahun lalu terdiri daripada model V40, XC40, S60, V60, XC60 dan XC90 untuk pasaran Thailand, Taiwan, Filipina dan Vietnam.

Katanya, pelaburan ke atas kilang pemasangan membo­lehkan lebih banyak jumlah pemasangan dan platform baharu seperti Scalable Product Architecture (SPA) merangkumi model 60 dan 90 serta Seni Bina Kompak Modular (MCA) yang digunakan pada XC40 baharu.

“Pelan transformasi melibatkan pelbagai strategi termasuk operasi peruncitan, titik sentuhan pelanggan dan penawaran produk di Malaysia. Perubahan dapat diperhatikan di operasi runcit kami menerusi Pengalaman Runcit Volvo (VRE) yang merupakan standard kepada para pengedar bagi memenuhi barisan produk sedia ada dan baharu.

“VRE merupakan standard komprehensif yang merangkumi aspek kritikal pengedar bertujuan memberikan pe­ngalaman yang berfokuskan pelanggan. Pelaksanaan VRE pada 2017 menetapkan jangkaan yang tepat kepada bakal rakan pengedar dalam fasa seterusnya melibatkan pengembangan rangkaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Stegland, VCM me­rancang untuk membawa pe­ngalaman pelanggan ke tahap lebih tinggi dengan memper­kenalkan konsep perkhidmatan baharu iaitu Servis Peribadi ­Volvo (VPS) pada tahun ini.

Menurutnya, Inventori Pe­ngurusan Volvo (VMI) iaitu sistem baharu yang akan memastikan ketersediaan alat ganti akan turut diperkenalkan.

“Bagi segmen perkhidmatan kewangan, VCM memperkenalkan Volvo Car Leasing yang membolehkan pelanggan menikmati ketenangan pemilikan Volvo. Kami juga merancang untuk memperkenalkan Insurans Volvo dengan kerjasama AXA Insurance pada tahun ini,” katanya.

VCM kini memiliki 11 pengedar termasuk pengenalan semula jenama itu di Kuching, Sarawak selepas ditutup hampir 10 tahun. Syarikat itu me­rancang untuk menambah lebih banyak pengedar pada tahun ini terutama di lokasi yang belum dimasuki.

Sementara itu, VCM melantik Ketua Pegawai Kewangan Volvo Auto India, Nalin Jain sebagai Pengarah Urusan VCM yang baharu berkuat kuasa 1 Mac depan menggantikan Stegland yang akan bersara.