Uzma yang ditubuhkan pada tahun 2000 telah berkembang dan memperkukuh persaingannya hingga mampu menyediakan perkhidmatan kepada lebih 60 pelanggan di 36 negara di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Uzma, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed berkata, bagi mencapai sasaran dalam bidang R&D itu, Uzma giat meningkatkan tahap kecekapan pengurusannya dalam mendepani cabaran masa kini.

“Kita tidak mampu mem­belanjakan AS$2 juta setiap hari, contohnya, sebagaimana yang dilakukan oleh syarikat antarabangsa untuk kajian R&D bagi setiap projek. Oleh itu, kita memikirkan langkah terbaik, selain memastikan pengurusan dan tadbir urus korporat yang tepat,” ujarnya.

Bagi memastikan peningkatan keupayaan itu, Uzma sentiasa memastikan hubungan jangka panjang dalam setiap lapangan, misalnya yang dapat dilihat menerusi penglibatan bersama syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Pada Februari lalu, Uzma antara lain turut menyertai Perjanjian Projek Industri Bersama (JIP) Petronas yang pertama bagi membangunkan aliran dan kaedah kerja terbaik bagi melaksa­nakan projek perolehan mi­nyak dipertingkat karbon dioksida (CO2 EOR).

Malah, hubungan jangka panjang, turut diperkukuhkan dalam Program Pembangunan Vendor (VDP) Petronas yang turut disertai Setegap Ventures Petroleum Sdn Bhd (SVP) yang juga merupakan syarikat bersekutu Uzma. VDP Petronas diper­kenalkan syarikat minyak negara itu pada tahun 1994 dan menerusi program-program yang dianjurkan, syarikat terlibat termasuklah SVP dapat meneroka kerjasama untuk R&D Petronas serta mengekalkan momentum perniagaan.

“Uzma mendapat ‘tunjuk ajar’ menerusi pelbagai penglibatan dengan Petronas, yang membantu syarikat Bumiputera melalui bimbingan latihan, teknikal dan khidmat nasihat serta pembangunan penyelidikan,” jelas Kamarul Redzuan.

Begitu pun, Uzma tetap berdepan cabaran dalam memastikan per­khidmatan yang diberikan mencapai tahap piawaian yang ditetapkan.

“Cabaran itu termasuklah bersaing dengan syarikat asing lain yang lebih berpengalaman dalam industri. Pengalaman ini telah memberi banyak manfaat dalam meningkatkan lagi kemampuan kami,” katanya.

Hasil rekod projek dan kestabilan keadaan kewangan membolehkan Uzma meneroka peluang dan melebarkan sayap perniagaan sehingga mendapat gelaran ‘Schlumberger Malaysia’.

“Rekod perniagaan dan jalinan kerjasama di pentas antarabangsa, antaranya di Russia, Australia, Vietnam, Qatar dan Thailand, terus memberi kepercayaan Petronas terhadap kami,” tambahnya.

Berkongsi mengenai kesan daripada ketidaktentuan harga minyak dunia pada tahun kebe­lakangan ini, Kamarul Redzuan berkata ia juga memberi impak secara langsung kepada Uzma.

Oleh itu, kolaborasi bersama Petronas menerusi JIP, Perjanjian Perkhidmatan Jangka Panjang (LTSA) dan menganjurkan pelbagai program pembangunan termasuklah berkongsi langkah penjimatan dapat membantu meningkatkan keupayaan bagi setiap syarikat terpilih.

Menyedari keadaan semasa itu, Uzma mengambil insiatif persediaan awal dan mencada­ng­kan langkah-langkah penjima­tan yang turut disambut baik oleh Petronas.

Menurutnya, Uzma perlu me­ningkatkan tahap kecekapan dan memastikan integrasi bagi 38 produk kerana tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Petronas semata-mata.

“Pada masa yang sama, kami tetap menganggap VDP sebagai program yang memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk berdaya saing.

“Ramai orang beranggapan bahawa syarikat yang dilantik oleh Petronas menerima pelbagai keistimewaan. Sebaliknya, kami perlu membuktikan kemahiran dalam memenuhi pelbagai syarat dan piawaian untuk ber­saing dalam industri ini. ­

“Namun begitu, program ini memberi lapangan kepada syarikat seperti Uzma untuk turut membangun bersama-sama de­ngan Petronas dan memanfaatkan kedua-dua pihak,” katanya.

Berkongsi mengenai peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Uzma Berhad, secara peribadi­nya, Kamarul Redzuan lebih terarah kepada berani mencuba dan meletakkan risiko dalam setiap keputusan yang diambil.

Tiada istilah mentor dalam menentu arah tuju syarikat, Kamarul Redzuan sentiasa memastikan beliau berhubung rapat dengan rakan sejawat dalam kalangan pemain industri.

“Bukan mudah untuk membuat keputusan, kerana setiap keputusan pasti ada risikonya. Saya terus menimba ilmu termasuk kini meneruskan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) untuk mengemudi syarikat dengan lebih baik,” ujarnya.

Melangkah ke hadapan, Uzma meninjau segala kemampuan yang boleh dicapai. Bagi me­laksanakan langkah itu, Uzma sedang mendalami pelaksanaan kecekapan dan budaya kerja sebagaimana dilakukan oleh Petronas untuk lebih maju lagi.