Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad berkata, anugerah tersebut merupakan satu penghargaan kepada usaha syarikat akhbar berpengaruh itu dalam memperjuangkan ekonomi bumiputera.

"Alhamdulillah, malam ini satu lagi anugerah diterima dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMM) terhadap usaha kita dalam bersama-sama meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat khususnya golongan bumiputera.

"Usaha kita dalam pembangunan bumiputera tidak akan berjaya tanpa penglibatan semua pihak, selari dengan hasrat mengisi erti kemerdekaan yang dikecapi," katanya kepada Utusan Online dalam majlis MBA 2017 di sini, malam ini.

Dalam majlis itu, Pengerusi Eksekutif Dewina Holdings Sdn. Bhd., Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi dipilih sebagai pemenang hadiah utama, MBA Lifetime Achievement Award 2017 sementara Tan Sri Arshad Ayub pula dianugerahkan MBA Legacy Award 2017 atas sumbangan dan jasa beliau kepada negara.

Turut menerima penghargaan adalah Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun yang dianugerahkan MBA Appreciation Award.

Yang turut hadir, Penasihat Ekonomi Wanita/Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Terdahulu, Pemangku Yang Dipertua DPMMKL, Don Nazwim Don Najib berkata, komuniti perniagaan merupakan watak penting dalam memastikan pembangunan sesebuah negara.

Katanya, kemampuan golongan tersebut dalam mengekalkan prestasi cemerlang ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi ketika ini wajar diberikan pujian.

"Kami rasa bangga kerana dapat memberikan penghargaan kepada pemenang kerana kemampuan mereka mengekalkan pencapaian cemerlang pada tahap tertinggi walaupun ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Pemenang wajar diberikan contoh dan inspirasi kepada usahawan tempatan untuk mencabar kemampuan mereka bersaing di peringkat global. Kami melihat anugerah ini sebagai platform terhadap usaha mereka menaikkan nama negara," katanya. - UTUSAN ONLINE