Syarikat itu berkata, hasil bersih daripada pelupusan tersebut akan digunakan untuk membiayai keperluan modal kerja dan membiayai operasi harian.

“Cadangan pelupusan ini memberikan peluang kepada Utusan untuk membuka kunci nilai hartanah berkenaan dengan serta merta,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, kos asal pelaburan yang dibuat pada bulan Disember 1995 tersebut adalah RM4.82 juta dan nilai buku bersih hartanah berdasarkan penyata kewangan terkini yang telah diaudit pada 31 Disember 2017 adalah RM2.7 juta.

“Lembaga berpendapat bahawa pelupusan yang dicadangkan adalah kepentingan terbaik bagi Kumpulan Utusan kerana membolehkan Utusan mengumpul dana bagi keperluan modal kerja,” katanya.

Kelmarin UMMB memaklumkan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu masih dalam proses merumuskan pelan regularisasi dan tiada perkembangan utama selepas pengumumannya yang dibuat pada 1 November lalu.

UMMB berkata, pihaknya mempunyai tempoh kira-kira lapan bulan untuk menghantar pelan regularisasi kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kelulusan.

Syarikat merujuk pengumuman yang bertarikh 20 Ogos, 3 September, 1 Oktober dan 1 November 2018 berhubung klasifikasi syarikat sebagai Penerbit Tersenarai Terjejas di bawah PN17. -UTUSAN ONLINE