Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Azlan Abd. Rahman berkata, kerjasama dengan syarikat aplikasi di bawah Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. itu sejajar dengan visi UTM ke arah penawaran perkhidmatan digital sepenuhnya.

Menurutnya, aplikasi unik Boost yang memberi tawaran hebat berdasarkan pengalaman berasaskan ganjaran bakal memberi manfaat kepada lebih 25,000 pelajar dan warga kerja UTM di kedua-dua kampusnya iaitu Skudai dan Kuala Lumpur.

“Boost akan menyediakan pelajar kami dengan gaya hidup digital dan pengalaman yang menyeronokkan melalui pembe­lian lebih mudah, penghantaran wang, tambah nilai telefon dan pemberian hadiah digital.

“Kerjasama ini juga menandakan inisiatif permulaan kami ke arah menjadi universiti digital sepenuhnya,” kepada pemberita dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan Boost dan Zen Trillion Sdn. Bhd. di sini hari ini. 
 Azlan menandatangani perjanjian itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Zen Trillion, Dick Hilmi Datuk Ir. Hassan. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Korporat Kumpulan Axia­ta, Idham Nawawi.

Dalam pada itu, Tiffin berkata, pihaknya berhasrat untuk lebih agresif mempromosi sistem tanpa tunai dalam negara sekali gus meluaskan perniagaannya.

Sejak dilancarkan pada Januari tahun ini kata beliau, Boost telah mempunyai kira-kira 500,000 pengguna dengan 50 peratus daripadanya merupakan pengguna aktif.

Menurutnya, Boost bukan sekadar aplikasi pembayaran semata-mata, namun merangkumi perkhidmatan gaya hidup melalui beberapa penawaran istimewa yang akan diperkenalkan kelak.