Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, terdapat beberapa syarikat tempatan yang memiliki keupa­yaan dan kemampuan untuk mengen­dalikan industri penjagaan kesihatan seperti Sime Darby Berhad dan KPJ Healthcare Berhad.

“Khazanah seharusnya cuba menjual kepentingannya kepada syarikat Malaysia dahulu kerana kita juga mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk mengendalikan hospital bertaraf antarabangsa. Selain itu, penjualan itu juga boleh ditawarkan kepada pelabur tempatan yang berminat.

“IHH merupakan kebanggaan rakyat Malaysia kerana memiliki hospital di beberapa buah negara seperti Singapura, Turki dan India. Selain itu, IHH menjadi syarikat multinasional tempatan yang me­nerajui industri pen­jagaan kesihatan global,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Khazanah menjual 1.4 bilion saham dalam IHH kepada Mitsui pada harga RM6.00 sesaham. Ia berdasarkan kepada modal saham di­perbesar IHH selepas syarikat itu menyelesaikan pembelian tambahan 30 peratus kepenti­ngan ekuiti dalam Acibadem Saglik Yatirimlari Holding A.S. IHH mengumumkan pembeli­an kepentingan dalam Acibadem pada 8 Oktober 2018.

Dengan penjualan itu, pe­gangan Khaza­nah berkura-ngan kepada 26.05 peratus berbanding sebelum itu, 41.6 peratus. Mitsui pula akan meningkatkan pegangannya kepada 32.9 peratus apabila pengambilali­han itu selesai pada suku perta­ma 2019.

IHH memiliki rangkaian je­­nama hospital terkemuka seperti Mount Elizabeth, Gleneagles, Pantai, Parkway dan Acibadem merentasi Asia serta Eropah Timur dan Tengah.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat, beliau bimbang IHH tidak lagi boleh dipanggil sebagai syarikat kumpulan milik Malaysia atau menjadi kebanggaan negara susulan Mitsui & Co. Ltd. (Mitsui) memiliki kepentingan sebanyak 32.9 peratus.

Namun, menurut Abu Sofian, penjualan kepentingan dalam IHH oleh Khazanah kepada Mitsui sebagai kes terpencil dan berharap ia tidak membawa kepada trend penjualan kepentingan dalam pelbagai syarikat pelaburan yang lain oleh kerajaan.

Katanya, walaupun kerajaan terdahulu mengalu-alukan ke­­datangan pelabur China ke Malaysia, namun pendekatan yang digunakan tidak sama malah ia hanya memberikan ke­lebihan kepada sebelah pi­hak sahaja.

“Para pelabur China cende-rung untuk menggunakan sum­ber-sumber daripada negara mereka sendiri seperti sum­ber manusia, peralatan dan bahan mentah.

“Berbeza dengan Jepun yang mana berdasarkan pelaburan mereka terdahulu rakyat negara ini turut menerima manfaat seperti perkongsian kepakaran dan kemahiran, peluang pekerjaan serta perniagaan,” jelas-nya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, penglibatan Mitsui itu sewajarnya tidak dikaitkan sama sekali dengan pelaburan yang dibuat oleh syarikat-syarikat China di Malaysia.

Beliau menyifatkan penyertaan Mitsui tidak akan menjejaskan peranan Khazanah sebagai satu daripada pemegang saham dalam IHH.

“Dalam masa sama, jangan kaitkan pelaburan Mitsui ini sama seperti China membuat pelaburan di Malaysia. Apa yang dilakukan Mitsui ini melibatkan pelaburan berportfolio dalam syarikat-syarikat tersenarai di papan utama dan membabitkan pegangan saham.

“Bagi pelaburan China pula, ia banyak terlibat melalui pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan. Perkara ini juga tidak mempunyai kaitan dengan sebarang dasar-dasar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Mitsui meningkatkan pegangannya dalam IHH, namun ia tidak memberi sebarang kesan sama ada kepada IHH mahupun Khazanah memandangkan Khazanah masih mempunyai kawalan dalam syarikat ini.