Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, pihaknya menyambut baik langkah diambil SME Bank yang turun padang bagi mengenal pasti usahawan yang mempu bergiat dalam perniagaan berkonsepkan e-dagang seterus­nya membantu mereka memperluaskan bidang perniagaan itu di peringkat antarabangsa.

Katanya, SME Bank bersama agensi di bawah kementeriannya, Perbadanan Pembangunan Per­da­gangan Luar Malaysia (Matrade) sentiasa mengadakan kerjasama bagi menggalakkan usahawan PKS menceburi bidang e-dagang sekali gus meningkatkan jumlah eksport negara.

“Menerusi konsep e-dagang ini, kita bukan sahaja melihat pasaran dalaman sebaliknya jika e-dagang ini dilaksanakan untuk tujuan eksport ia tidak perlu me­lalui saluran pengeksportan yang begitu ketat prosedurnya malah konsep e-dagang ini lebih cepat penularannya.

“Meskipun konsep e-dagang ini mencatatkan nilai perolehan yang agak kecil namun jika dijumlahkan ia akan mendatangkan hasil eksport yang tinggi kepada negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Engagement bersama kira-kira 100 pelanggan pusat wilayah selatan SME Bank di sebuah hotel di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi SME Bank, Datuk Kamaluddin Ismail.

Menurut Tee Yong, kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang menambah baik dan merangka pembangunan infrastruktur dan ekosistem digital antaranya menerusi pelancaran Hab Digital Malaysia; Zon Perdagangan Bebas Digital Pertama di dunia serta Pelan Strategik e-Dagang negara bertujuan mening­katkan pertumbuhan e-dagang tempatan daripada 10.8 peratus pada masa ini kepada 20.8 peratus menjelang tahun 2020.

Sementara itu, Kamaluddin berkata, SME Bank memperuntukkan pembiayaan berjumlah RM13.63 juta kepada enam usahawan syarikat PKS di Melaka dan Johor sebagai langkah menangani masalah kesukaran mendapatkan pembiayaan oleh golongan tersebut.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2005 hingga Di­sember 2017, pihaknya telah meluluskan pembiayaan berjumlah lebih RM28 bilion kepada 16,000 pelanggan di seluruh negara.

“SME Bank merancang untuk mengadakan 14 program Engagement di seluruh negara yang mana Melaka merupakan destinasi kelima selepas Selangor, Sabah, Sarawak dan Kedah dan memfokuskan kepada kumpulan kecil,” katanya.