Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, keputusan kewangan lebih baik itu disebabkan oleh elaun rosot nilai yang lebih rendah ke atas pinjaman dan pembiayaan dalam tahun semasa.

Katanya, pencapaian itu juga berikutan tamat program kemerosotan tiga tahun pada Disember 2017 serta pelaksanaan model kemerosotan patuh Piawaian Pelaporan Kewangan 9 (MFRS 9) pada 1 Januari 2018.

“Pinjaman kasar dan pembiayaan kumpulan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.83 peratus kepada RM35.85 bilion yang disumbangkan oleh pembiayaan korporat yang lebih tinggi.

“Jumlah aset pula berjumlah RM46.40 bilion, peningkatan sebanyak 3.55 peratus berbanding dengan RM44.81 bilion yang dicatatkan pada 31 Disember 2017,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumlah deposit menurun sebanyak RM1.03 bilion dari 31 Disember 2017 kepada RM32.76 bilion.

Pengembangan perniagaan strategik segmen korporat MBSB telah meningkat dengan nisbah runcit dan korporat kepada 74:26 berbanding 79:21 pada 31 Disember 2017.

Ahmad Zaini berkata, pada masa hadapan, MBSB bergerak secara dinamik ke arah sasaran kumpulan sebanyak 65:35 menjelang 2020.

“Kami terus membuat kemajuan dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membolehkan pelanggan memperoleh kemudahan perbankan utama yang lain daripada kami.

“Selain itu, integrasi teknologi maklumat (IT) dan rancangan Perbankan Digital kami berada di landasan tepat dengan pelancaran perbankan internet korporat MBSB Bank pada akhir tahun ini bersama produk serta perkhidmatan baharu lain yang akan dilaksanakan secara berperingkat tahun depan,” katanya.

Habis.