MOHAIYANI SHAMSUDIN

Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin berkata, ia didorong pendapatan ber­asaskan dana bersih lebih tinggi, kecekapan pengurusan kos serta pengurangan berterusan dalam kerugian rosot nilai.

Katanya, untung bersih meningkat 7.4 peratus kepada RM5.79 bilion daripada RM5.39 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Bagi suku ketiga tahun kewangan 2018, keuntungan sebelum cukai menurun sedikit sebanyak 1.5 peratus pada RM2.64 bilion berbanding RM2.68 bi­lion pada tahun sebelumnya berikut­an pendapatan operasi bersih berkurang 3.3 peratus.

“Ia terutamanya kerana kemerosotan pasaran global yang berterusan telah melemahkan pertumbuhan ekonomi dan permintaan dalam segmen-segmen utama,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tempoh itu telah terkesan dengan perubahan global yang tidak menentu dan ketidakstabilan pasaran yang menyebabkan pendirian berhati-hati da­lam kalangan pelanggan terutama­nya korporat.

Bagaimanapun Mohaiyani berkata, Maybank tetap memberi tumpuan kepada pengurusan risiko mantap serta mengekalkan kedudukan modal dan kecairan yang teguh.

“Maybank akan terus memberi tumpuan kepada pemantauan risiko dan pematuhan untuk memastikan kumpulan dapat mengekalkan pulangan nilai yang munasabah kepada semua pihak berkepentingan.” katanya.

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2018, Maybank mencatatkan pendapatan operasi bersih sebanyak RM5.69 bilion berbanding dengan RM5.89 bi­lion pada tahun sebelumnya, disebabkan penurunan pendapatan berasaskan fi.

Bagaimanapun keuntungan operasi bagi tempoh itu lebih tinggi kepada RM2.61 bilion daripada RM2.60 bilion hasil manfaat daripada perbelanjaan overhead yang lebih rendah serta penurunan kemerosotan nilai sebanyak 5.5 peratus.