Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pencapaian positif itu berikutan perolehan yang le­bih kukuh daripada semua segmen perniagaan dan pasaran utama di luar negara serta kerugian susut nilai yang rendah.

Katanya, keuntungan sebelum cukai (PBT) Maybank juga mencecah paras RM10 bi­lion buat kali pertama, naik 14.2 peratus kepada RM10.10 bilion, berbanding RM8.84 bilion tahun sebelumnya.

“Tahun ini dilihat mencabar seperti 2017 memandangkan pasaran tidak menentu. Sehubungan itu kami akan memberi tumpuan kepada keuntu­ngan serta pengurusan kos dan kecairan yang berkesan bukan sekadar mengejar pertumbuhan pinjaman semata-mata.

“Kami akan terus melihat peluang pertumbuhan di pasaran lain seperti dalam pengurusan kekayaan, pembayaran digital, perbankan Islam dan insurans bagi mengukuhkan lagi pengurusan pasaran kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman prestasi kewangan Maybank di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Dengan dividen interim 23 sen yang diisytiharkan sebelum ini, ia menjadikan bayaran penuh tahun kewangan sebanyak RM5.90 bilion atau 78.5 peratus daripada keuntungan bersih dan diterjemahkan kepada pulangan dividen sebanyak 5.6 peratus mengekalkan status Maybank dalam kalangan bank yang menawarkan hasil tertinggi di rantau ini.

Operasi Maybank di Malaysia mencatat pertumbuhan pinjaman sebanyak lima peratus, mengatasi pertumbuhan industri domestik manakala operasinya di Singapura dan Indonesia menca­tatkan peningkatan, masing-ma­sing sebanyak 4.3 peratus dan 3.6 peratus.

Pada peringkat kumpulan, pinjaman kasar pada asas dilaporkan meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun.

Group Community Financial Services (GCFS) kekal sebagai barisan perniagaan terbesar Maybank pada tahun itu, mencapai keuntungan sebelum cukai yang kukuh sebanyak RM5.31 bilion. Kumpulan itu meraih manfaat daripada francais penggunanya yang kukuh di pasaran utama.

Pendapatan operasi bersih perbankan global kumpulan meningkat dengan kukuh kepada RM9.24 bilion, naik sebanyak 1.6 peratus berbanding 2016 manakala perbankan pelaburan menunjukkan tarikan yang baik dalam perbank­an pelaburannya.

Dalam pada itu, Abdul Farid berkata, Maybank mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi segmen perniagaan perbankan Islam kumpulan untuk terus menunjukkan prestasi kukuh.

“Maybank Islamic me­nge­kal­kan trajektori pertumbuhan yang kukuh dengan pembiayaan kasar meningkat kepada RM163.6 bi­lion, pembiayaan sebanyak 12 peratus dalam pembiayaan perbankan global (GB) dan lapan pe­ra­tus dalam pembiayaan perkhidmatan kewangan komuniti (CFS).

“Pada Disember 2017, pembiayaan Islam membentuk 56.9 peratus daripada jumlah pembiayaan domestik Maybank, de­ngan kedudukan Maybank Islamic sebagai nombor satu di Malaysia dari segi penguasaan pasaran aset Islam,” katanya.