Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, perolehan kumpulan bagi suku ketiga 2018 naik 19 peratus kepada RM63.9 bi­lion, terutama didorong oleh kenaikan purata harga yang tinggi bagi produk utama ditambah dengan peningkatan kecekapan di seluruh kumpulan.

Katanya, ia juga sebahagiannya diimbangi oleh kesan pengukuhan ringgit berban­ding kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) dan jumlah jualan yang lebih rendah terutama untuk gas asli cecair (LNG).

Beliau berkata, bagi suku di bawah semakan, Petronas mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi disebabkan oleh pelaksanaan berterusan kumpulan dalam aktiviti penambahbaikan perniagaan, memberi tumpuan kepada peningkatan kecemerlangan operasi dan harga komoditi yang lebih tinggi.

“Petronas terus mencatat satu lagi prestasi suku tahunan yang kukuh, yang terus me­ngukuhkan kedudukan kewangan kami. Keputusan yang lebih baik ini didorong oleh usaha peningkatan operasi berterusan di seluruh kumpulan dan disokong oleh kenaikan harga minyak sepanjang tempoh tersebut.

“Petronas berada di landasan yang betul untuk mencapai prestasi akhir tahun yang kukuh dengan mengekalkan tumpuan kami dalam usaha memacu kecekapan di bahagian operasi.

“Penurunan harga minyak baru-baru ini menunjukkan keadaan tidak menentu serta kitaran industri dan kami akan terus mengekalkan unjuran yang berhemah di tengah-te­ngah landskap ini sambil kekal teguh dalam mengejar strategi pertumbuhan untuk memastikan kemapanan dan kemajuan jangka panjang syarikat,” katanya dalan kenyataan di sini hari ini.

Petronas turut merekodkan peningkatan sebanyak 25 peratus dalam keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM26.9 bilion daripada RM21.5 bilion pada suku sama tahun sebe­lumnya.

Wan Zulkiflee berkata, untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, kumpulan merekodkan perolehan sebanyak RM181.1 bilion, ter­utama di­sebabkan oleh kesan kenaikan harga purata yang lebih tinggi bagi produk utama serta usaha peningkatan kecekapan, sebahagian besarnya diimbangi oleh kesan pe­ngukuhan ringgit berbanding kadar pertukaran dolar AS.

Keuntungan selepas cukai untuk tempoh berkenaan juga meningkat sebanyak 50 peratus kepada RM41 bilion daripada suku sama pada 2017.

Sementara itu, beliau memberitahu, setakat September 2018, Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) telah mencapai kemajuan 95 peratus dan berjaya menerima kargo minyak mentah pertama di Pengerang Deepwater Terminal 2 (PDT2).

Katanya, PIC kini sedang menghampiri tahap pentau­liahannya dan masih berada di landasan untuk mencapai status siap bagi permulaan (RFSU) pada 2019.