Menurut MSM, peningkatan positif itu didorong oleh kos bahan mentah yang lebih rendah turun 22.5 peratus dan kadar pertukaran asing yang menguntungkan meningkat lapan peratus.

“Bagaimanapun, hasil bagi suku itu turun 16 peratus kepada RM562.05 juta daripada RM667.11 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan oleh pengurangan empat peratus dalam keseluruhan tan yang dijual selain purata harga jualan yang lebih rendah.

“Sumbangan hasil juga mencabar selepas pengurangan harga siling runcit bagi gula putih 10 sen setiap kilogram (kg) berkuatkuasa 1 September lalu,” jelas MSM dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

MSM bersama Central Su­gars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) mematuhi keputusan kerajaan mengurangkan harga runcit bagi gula putih dengan gula pasir pada RM2.85 dan gula pasir halus RM2.95 sekilogram.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, pengeluar gula bertapis itu mencatatkan keuntungan bersih RM46.01 juta berbanding kerugian bersih RM45.66 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Hasil bagi tempoh tersebut berkurangan kepada RM1.68 bilion daripada RM2.01 bilion tahun sebelumnya berikutan keseluruhan tan yang dijual adalah lebih rendah.

Melangkah ke hadapan, MSM mengekalkan tinjauan positifnya untuk terus mencatatkan keuntungan bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2018.

“Selain itu, pengeluaran gula meningkat 0.8 peratus pada 257,788 tan disokong oleh inisiatif yang mendorong produktiviti dan kecekapan operasi,” katanya.

MSM berkata, tahun depan bakal memberikan cabaran baharu terhadap jualan dan harga runcit gula kerana pelaksanaan duti eksais untuk minuman bergula 40 sen seliter bermula 1 April 2019.

“Walau bagaimanapun, MSM tetap optimistik terhadap prestasi perniagaan gula untuk meningkatkan nilai para pemegang sahan dan menyediakan aliran pendapatan dengan pulangan yang lebih baik,” katanya.