Mohaiyani Shamsudin
MOHAIYANI SHAMSUDIN

Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin berkata, peningkatan pendapatan berasaskan dana bersih selain penurunan kerugian kerosakan bersih sebanyak 20.1 peratus berbanding tahun lalu juga berjaya meningkatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan kepada RM7.17 bilion.

Katanya, pendapatan operasi bersih bagi sembilan bulan tahun ini juga naik 6.8 peratus tahun ke tahun kepada RM17.29 bilion dengan pertumbuhan tersebut kebanyakannya dipacu oleh perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan yang melonjak 8.6 peratus manakala sektor insurans dan takaful serta perbankan global kumpulan masing-masing naik 2.8 dan 0.9 peratus.

“Prestasi kewa­ngan yang dicapai ini membuktikan Maybank ber­­­jaya mempertahankan momentum pertumbuhan merentasi pelbagai segmen perniagaan selain pasaran tempatan dalam tempoh sembilan bulan lalu.

“Kami akan menguruskan perniagaan dengan berhati-hati dalam memastikan kami terus berkembang di sam­ping me­ng­awasi kos dan risiko dengan berdisiplin walaupun prospek positif ditunjukkan untuk baki beberapa bulan tahun ini sekali gus memberi peluang mencari segmen pertumbuhan baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi suku ketiga 2017, Maybank telah merekodkan PBT le­bih tinggi kepada RM2.68 bilion iaitu peningkatan 19.3 peratus berbanding RM2.24 bilion pada suku kedua dan 9 peratus lebih tinggi berbanding suku ketiga 2016 berjumlah RM2.46 bilion.

Keuntungan bersih kumpulan bagi suku ketiga juga mencatatkan 12.9 peratus lebih tinggi iaitu RM2.03 bilion berbanding RM1.8 bilion untuk tempoh sama tahun lalu manakala perolehan kumpulan berjumlah RM11.56 bilion daripada RM11.28 bilion tahun lalu.

Tambah Mohaiyani, Maybank Islamic terus mengekalkan kedudukan sebagai perbankan Islam terbesar di Malaysia apabila memegang 30 peratus pe­nguasaan aset Islamik sekali gus merekodkan sumbangan lebih tinggi iaitu 56 peratus kepada pembiayaan domestik kumpulan berbanding 53.2 peratus tahun lalu.