FGV turut mencatat peningkatan 60 peratus bagi keuntungan sebelum cukai kepada RM417 juta berbanding RM260 juta pada 2016 didorong oleh prestasi memberangsangkan daripada sektor perlada­ngan dan logistik & lain-lain (LO).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, sektor perladangan mencatat peningkatan ketara dengan keuntungan sebanyak RM554 juta daripada RM234 juta pada tahun sebelumnya berikutan pengeluaran buah tandan segar yang lebih tinggi, untung minyak sawit mentah yang lebih tinggi dan prestasi yang lebih positif daripada syarikat-syarikat usaha sama.

“Secara keseluruhan, prestasi 2017 semakin bertambah baik sejajar dengan inisiatif transformasi dan perkembangan FGV pada tahun ini.

“Usaha transformasi dan pe­ningkatan perkembangan akan diteruskan pada 2018 dengan pengurusan menjangkakan pres­tasi positif dapat dicapai,” kata­nya dalam sidang akhbar mengumumkan prestasi kewangan FGV di sini hari ini.

Bagi tahun kewangan berak­hir 31 Disember 2017, perolehan FGV bagaimanapun menurun dua pera­tus kepada RM16.98 bilion pada 2017 berbanding RM17.24 bilion pada 2016.

Pengeluaran minyak sawit mentah meningkat sebanyak 12 peratus kepada 2.99 juta tan me­trik sejajar dengan peningkatan pengeluaran buah tandan segar daripada 3.91 juta tan metrik pada tahun lalu kepada 4.26 juta tan metrik pada 2017.

Menurut Zakaria, pada tahun ini, FGV akan menambah lagi 20,000 hektar bank tanahnya yang kini mencecah lebih 420,000 hektar dengan meninjau tanah-tanah yang berpotensi di Malaysia, Indonesia dan Afrika.

Katanya, Afrika mempunyai potensi yang cukup baik berdasarkan permintaan terhadap minyak sawit, kos harga tanah dan tanah sedia ada mampu memberi pulangan positif kepada kumpulan pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, selain Afrika, kita masih memberi tumpuan untuk meninjau tanah-tanah yang berpotensi di rantau ini terutama Indonesia. Tumpuan kita adalah pada tanah yang belum diteroka (greenfield) berbanding tanah sudah dibangunkan (brownfield),” katanya.

Beliau berkata, kumpulan juga akan melupuskan dua hingga tiga perniagaan bukan teras dengan satu atau dua daripadanya telah dimuktamadkan di peringkat akhir.

Mengulas mengenai kedudukan Datuk Mohamad Amri Sahari @ Khuzari, beliau berkata, FGV memberi tempoh tertentu kepadanya untuk kembali bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) setelah jawatan itu ditinggalkan sejak Januari lalu.

“Sudah tentu saya cuba memujuknya kerana beliau adalah antara kawan rapat saya. Pintu juga masih terbuka buat beliau tetapi apapun ia terpulang kepadanya.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, keputusan yang kita buat dengan melantik Pengarah Eksekutif, Datuk Khairil Anuar Aziz adalah untuk membantu memulihkan kembali MSM yang terjejas teruk tahun lalu,” katanya.

Jawatan itu kini dipangku Mohd. Shaffie Said yang merupakan Ketua Pegawai Teknikal MSM dan Pengarah Projek MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd.