Pengurus Pembangunan Kepimpinan Unilever Malaysia, Leadership Development Manager, Ramya Balakrishnan berkata, Unilever komited dalam usahanya memberikan latihan dan pemahaman terbaik dalam pelbagai bidang seperti kewangan, pemasaran, sumber manusia serta pembangunan pelanggan.

Katanya, UFLP yang diperkenalkan pada 2011 telah menyaksikan seramai tiga peserta berjaya dalam program berkenaan.

“Kita menyasarkan untuk melahirkan kira-kira tujuh tenaga kerja profesional dalam bidang-bidang berkaitan setiap tahun melalui UFLP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ramya berkata, UFLP direka bagi memberikan latihan dan pengalaman yang diperlukan bagi gra­duan baharu untuk dilatih menjadi pengurus dalam tempoh tiga tahun.

“Melalui program ini, mereka diberi pendedahan dalam bidang-bidang perniagaan tertentu bagi membangunkan kemahiran kepimpinan serta tanggungjawab sebenar seorang pengurus,” jelasnya.

Tambahnya, Unilever bekerjasama rapat dengan institut pengajian tinggi di negara ini bagi mencari peserta berpotensi untuk program berkenaan.

“Graduan yang berminat juga berpeluang untuk menjalani latihan di luar negara untuk tempoh satu tahun bagi memberikan mereka pendedahan yang lebih luas,” katanya.

Pendaftaran bagi program UFLP dibuka di laman web www.unilever.com.my/careers-jobs/graduates/uflp/