UMWT dalam kenyataannya berkata, ‘L’ merujuk kepada luxury atau kemewahan bagi memenuhi permintaan para pe­langgan yang mahukan sebuah trak pikap premium dengan gaya yang gagah.

Jelas UMWT, varian baharu itu dilengkapi dengan enjin 2.8 dan 2.4 liter empat silinder turbo diesel dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

“Apa yang membezakan L-Edition dengan Hilux lain adalah penampilan bahagian depan yang lebih lebar dan agresif dibantu oleh rekaan hexagonal pada gril yang dikelilingi kemasan krom. Bahagian pemijak di belakang berwarna perak serta hadir dengan rim 18 inci lima jejari dua tona.

“Ruangan dalaman menggunakan kemasan serba hitam dan tempat duduk kulit dengan rong­ga udara manakala Hilux 2.8 L-Edition didatangkan de­ngan meter optitron pencahayaan latar. Model L mempu­nyai tujuh beg udara,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, UMWT memberitahu, penawaran bagi model Sienta pada 2018 adalah untuk va­rian 1.5V sahaja dan hadir bersama aksesori tambahan dan ciri baharu tanpa sebarang perubahan harga.

Menurutnya, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu kini dilengkapi dengan sistem DVD-AVX 6.9 inci, sambungan bluetooth, HDMI, input kad SD serta kame­ra undur.

Katanya lagi, para pelanggan boleh menaik taraf kepada DVD-AVN 7 inci sebagai pilihan yang mempunyai sistem pengesanan global (GPS).

“Antara ciri baharu lain adalah skrin paparan panorama, tambahan slot pengecas USB untuk penumpang belakang dan alas tikar di ruangan barang.

“Semua model Toyota didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan kecuali Hilux dengan perbatuan maksimum 150,000 kilometer. Selain itu, jaminan tersebut boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya.