Vios edisi khas tersebut yang dijual dalam masa terhad pada harga RM85,300 sebuah serta boleh didaftarkan dan digunakan di jalan raya secara sah, tidak se­perti kereta lumba lain.

Menurut UMW Toyota, lebih daripada sekadar aksesori tambahan, Vios itu dilengkapi dengan komponen suspensi yang dinaik taraf sekali gus memberikan lebih cengkaman pengendalian.

Jelasnya, rekaan luarannya dengan tema dinamik juga diilhamkan daripada kereta lumba yang disediakan khas bagi Vios Challenge, menyerlahkan lagi imej sporty kenderaan itu.

“Kit suspensi sports menggantikan penyerap kejutan biasa dan pegas gegelung telah ditala secara khusus untuk memberikan kestabilan yang lebih baik semasa memandu di selekoh.

“Transformasi paling agresif ialah bahagian aerokit merangkumi bampar depan, skirt sisi dan spoiler belakang yang meningkatkan prestasi aerodinamik kereta itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, spesifikasi enjin Vios Sports Edition tersebut adalah serupa dengan model Vios lain iaitu enjin Dual VVT-i 1.5 liter dan Transmisi Berubah-ubah Berterusan (CVT).

Ia juga lengkap dengan pakej keselamatan termasuk sistem brek antikekunci (ABS), Kawalan Cengkaman (TC), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA).

Dengan setiap pembelian Vios Sports Edition, pelanggan berpeluang menerima barangan eks­klusif secara percuma seperti baju Polo Toyota Gazoo Racing (TGR) dan topi.