UMW memiliki 38 peratus kepentingan dalam Perodua, manakala MBM milik Med-Bumikar Mara Sdn. Bhd. (Med-Bumikar) memegang sebanyak 22.58 peratus, dan baki 10 peratus lagi PNB Equity Resource Corp. Sdn. Bhd. milik Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Badrul Fiesal Abdul Rahim berkata, pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada kedua-dua pihak, MBM dan PNB Equity Resource meskipun telah melanjutkan tawaran sehingga 31 Oktober ini.

“Kami telah melanjutkan tempoh tawaran sehingga enam bulan lagi, jadi terpulang kepada mereka untuk menilai sama ada ingin menjual ataupun tidak. Buat ketika ini, kami akan mengekalkan kedudukan harga tawaran sehingga tiba satu masa yang sesuai.

“Masih tiada maklum balas daripada kedua-dua pihak, mungkin semua masih sibuk selepas pilihan raya. Biarkan semuanya selesai dahulu, saya yakin mereka akan kembali kepada kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 34 UMW di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Ke­tua Pegawai Operasi Kumpulan, Azmin Che Yusoff.

Mac lalu, UMW telah membuat tawaran untuk mengambil alih 50.7 peratus kepentingan majoriti dalam MBM bernilai RM501 juta, dan turut menawarkan RM417.5 juta bagi mendapatkan kepentingan 10 peratus PNB Equity Resource, bertujuan untuk menguasai Perodua.

Dalam pada itu, mengulas mengenai rancangan pengembangan, Badrul Fiesal berkata, UMW akan terus menumpukan kepada tiga teras perniagaan utama iaitu automotif, peralatan serta pembuatan dan kejurute­raan, selepas berundur daripada industri minyak dan gas.