UMW Holdings
 

Penganalisis JF Apex Securities Bhd., Nursuhaiza Hashim berkata, UMW berhasrat untuk mengambil alih 50.07 peratus kepentingan dalam MBM Resources Bhd. (MBMR) daripada Med-Bumikar Mara Sdn. Bhd. (Med-Bumikar) dan 10 peratus kepentingan tambahan dalam Perodua daripada PNB Equity Resources (PNBER).

“Kami melihat cadangan pengambilalihan MBMR pada tawaran tunai RM2.56 sesaham atau dengan nilai RM501 juta ini sebagai pendekatan positif buat UMW ketika kumpulan mengukuhkan kedudukannya dalam segmen automotif kerana MBMR ketika ini memegang 22.58 peratus kepentingan ekuiti dalam Perodua.

“Jika kedua-dua cadangan ini diterima, ia akan meningkatkan penguasaan UMW di dalam Perodua daripada 38 peratus kepada 70.6 peratus, malah kumpulan itu akan menerima pelbagai manfaat

memandangkan Perodua adalah pendahulu dalam perniagaan automotif tempatan dengan 35.5 peratus bahagian pasaran,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Nursuhaiza memberitahu, margin keuntungan UMW akan meningkat jika pengambilalihan itu berjaya kerana asas perniagaan MBMR yang terlibat dalam pengagihan dan pengedaran bagi jenama kenderaan antarabangsa dan tempatan di Malaysia seperti Perodua, Daihatsu, Hino, Mitsubishi, Volkswagen dan Volvo.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan UMW akan memfokuskan semula kepada tiga perniagaan teras yang akan meneruskan momentum pertumbuhan dalam jangka masa panjang, selain bahagian automotif dijangka menyumbang pertumbuhan kukuh jika kumpulan berjaya meningkatkan penguasaan dalam Perodua,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Hong Leong Investment Bank Research, Daniel Wong berkata, langkah berkenaan adalah sejajar dengan inisiatif penyusunan semula UMW untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan teras termasuk segmen automotif dan pembuatan.

“UMW juga akan memanfaatkan kepentingan MBMR dalam komponen-komponen automotif sekali gus mengembangkan segmen pembuatan sedia ada syarikat itu termasuk OMI Group bagi pembuatan roda dan Hirotako Group bagi produk keselamatan, bunyi dan getaran,” katanya.

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry pula berkata, tawaran RM2.56 sesaham kepada MBMR itu adalah baik buat UMW kerana boleh dikatakan murah dengan diskaun 17 peratus berbanding harga sasaran MIDF terhadap MBMR, dan hanya 13 peratus premium kepada harga purata volum berwajaran (VWAP) RM2.26 sen.

ends