Presiden Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Megat Shahrul Azmir berkata, selongsong kipas untuk enjin Trent 1000 tersebut dihantar ke kilang pemasangan mesin dan ujian enjin Rolls-Royce di Seletar Aerospace Park, Singapura.

Menurutnya, kilang pem­buatan baharu UMW seluas 12 hektar dengan pelaburan bernilai RM750 juta dijangka mencecah kapasiti pengeluaran penuh sebanyak 250 buah selongsong kipas setiap tahun menjelang 2020.

“Hari ini menandakan era baharu UMW meneroka industri pembuatan komponen aeroangkasa dengan kejayaan penyerahan selongsong kipas Trent 1000 pertama kepada Rolls-Royce selepas persetujuan kontrak dua tahun lepas.

“Tahun ini UMW akan menyerahkan enam buah selongsong kipas. Kami akan menghasilkan 80 buah tahun depan dan 160 lagi tahun berikutnya. Jadi menjelang 2020, kami akan mencapai kapasiti penuh 250 buah,” katanya ketika ditemui pada acara penyerahan itu di Serendah, dekat sini hari ini.

Penyerahan selongsong kipas pertama tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Turut hadir, Pengerusi UMW, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan UMW, Badrul Fiesal Abdul Rahim; Naib Presiden Eksekutif Pemampat Rolls-Royce, Lee Fromson, Pengarah Serantau Asia Tenggara, Pasifik dan Korea Selatan Rolls-Royce, Dr. Bicky Bhangu serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

UMW menandatangani perjanjian pada 12 Ogos 2015 untuk mengeluar dan memasang selongsong kipas enjin Rolls-Royce Trent 1000 bagi Boeing 787 Dreamliner dan Trent 7000 iaitu enjin eks­klusif bagi Airbus A330neo tidak lama lagi.

Secara keseluruhan, terdapat tiga buah kemudahan pemasa­ngan enjin aeroangkasa sivil besar Rolls-Royce iaitu di Derby, United Kingdom; Dahlewitz, Jerman dan Seletar Campus, Singapura.

Asia Tenggara merupakan antara rantau paling penting untuk peluang perniagaan dan pangkalan strategik dengan lebih 50 peratus tempahan Rolls-Royce datang dari Asia dan Asia Barat.

Pelanggan Rolls-Royce terma­suk Malaysia Airlines bagi pesawat A380s dan juga A350 XWB yang akan diterima tidak lama lagi, serta AirAsia X menerusi pesawat Airbus A330 dan Airbus A330neo kelak.

Menurut Megat lagi, secara keseluruhan terdapat sebanyak 18,000 komponen dalam enjin Trent 1000 dan setiap satunya dihasilkan dengan keupayaan luar biasa untuk menampung keperluan enjin pesawat selama 30 tahun.

“Setiap selongsong kipas de­ngan berat 800 kilogram apabila siap adalah sangat kompleks dan mengambil masa sekitar 30 hari untuk siap sepenuhnya. Semuanya khusus kepada jenama Rolls-Royce sahaja.

“Selain itu, pembuatan nilai tinggi seperti ini merangsang permintaan bagi industri dan per­khidmatan sokongan. Kemudahan ini juga akan menjana pendapatan dan kemapanan peluang pekerjaan kepada komuniti,” katanya.