Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, langkah tersebut mampu mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh syarikat.

“Sebagai contoh, projek membekalkan tablet kepada para guru dapat membantu memberikan sumber pendapatan bagi tempoh dua tahun ini. Di samping itu, kita juga akan meneruskan projek-projek sedia ada seperti pembangunan hartanah.

“Kepelbagaian sumber pendapatan ini amat penting kerana kita tidak mempunyai pendapatan berulang. Jadi, kita perlu meneruskan usaha untuk mencari projek-projek baharu, antara­nya, hartanah, teknologi hijau dan teknologi maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung tahunan ke-50 di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Ahli Lembaga Pengarah, Tan Sri Ismail Yusof.

Utusan Melayu dan anak-anak syarikatnya (kumpulan) mencatatkan pengurangan kerugian sebelum cukai sebanyak RM16.9 juta daripada RM23 juta bagi suku pertama 2017 kepada RM6.1 juta bagi tempoh sama 2018.

Penurunan kerugian itu dise­babkan oleh pendapatan daripada projek pembekalan tablet kepada guru-guru yang masih lagi dite­ruskan untuk tahun 2018. Pendapatan daripada segmen penerbitan, pe­ngedaran dan pengiklanan mening­kat sebanyak 32.6 peratus.

Mengenai langkah penstrukturan semula kumpulan, Mohd. Nordin memberitahu, UMMB dijangka melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada tahun ini melibatkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 1,400 kakitangan meliputi semua peringkat termasuk anak-anak syarikat.

“Kita jangka langkah VSS ini akan dibuat tidak lama lagi tetapi bergantung kepada kelulusan ahli lembaga pengarah. Ini kerana UMMB tidak boleh beroperasi de­ngan jumlah pekerja yang ramai.

“Dalam masa sama, kita juga perlu laksanakan langkah-langkah pengurangan kos secara menyeluruh bagi mengelakkan kerugian antara RM7.5 hingga RM8 juta setiap bulan. Dengan pendekatan ini, kita akan bina semula syarikat menghadapi cabaran dalam industri media,” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju syarikat, Aziz pula berkata, kumpulan akan memberi penekanan kepada segmen digital dan memperkasakan edisi cetak memandangkan kedua-duanya adalah aktiviti pemangkin kepada syarikat.

Katanya, dengan perubahan landskap politik ketika ini, masih wujud potensi kepada syarikat untuk meningkatkan edaran dan pembaca.

“Kita menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14, dan sudah tentu kita akan memberi laporan seluas mungkin kepada kerajaan baharu atas nama nation building atau pembinaan negara kerana ini adalah tanggungjawab kita.

“Cuma cabaran kini adalah untuk memainkan peranan kepada golongan pembaca setia, menarik lebih ramai pembaca muda dan pada masa sama menjaga kepen­tingan pihak-pihak berkepen­tingan seperti pemegang saham utama,” katanya.