Pengarah Urusan Kumpulannya, Dennis Ng berkata, pada permulaan, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan syarikat dari Singapura bagi membuka cawa­ngan BreadTalk dan Toast Box di negara ini.

Menurutnya, memandangkan taman perbandaran UMLand dilengkapi dengan sektor peruncitan, syarikat tersebut membuat keputusan untuk memulakan perniagaan baharu dalam bidang makanan dan minuman.

“UMLand menjalin kerjasama itu tahun lepas dan pada masa ini, kita sudah mempunyai lapan cawangan di Kuala Lumpur dan pada tahun ini merancang untuk menambah lagi lapan cawangan termasuk di Johor.

“Dalam tempoh tiga hingga lima tahun, syarikat menyasarkan untuk membuka 50 cawa­ngan di seluruh negara,” katanya selepas majlis makan tengah hari bersama media sempena Tahun Baharu Cina di Hotel Amari, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif UMLand Seri Austin, K.K Wong.

Dennis berkata, 40 hingga 50 peratus cawangan BreadTalk dan Toast Box itu dijangka dibuka di kawasan taman perbandaran yang dibangunkan UMLand dan selebihnya dirancang di tempat lain.

Sementara itu, K.K Wong berkata, pada tahun ini UMLand akan memulakan tiga projek perumahan baharu, iaitu sebuah

di Seri Austin dan dua di Seri Alam, sekali gus yakin pertumbuhan sektor hartanah pada tahun ini adalah positif.

“Kita akan membangunkan sebanyak 300 unit apartmen dikenali sebagai Camellia di Seri Austin, manakala di Seri Alam kita membina 240 unit apartmen Amber Heights dan 60 unit rumah berkembar,” katanya.

Selain itu, servis apartmen Cita­dines di Medini dijangka dibuka pada tahun depan, katanya.