Naib Canselor UM, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim berkata, makmal yang dibangunkan di bawah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) itu diwujudkan bagi para penyelidik dalam bidang blockchain terutama UM untuk mengaplikasikan penyelidikan mereka selain daripada menambah baik penggunaan teknologi tersebut.

Beliau berkata, makmal tersebut turut membolehkan para penyelidik mengukuhkan kajian mereka dan berpotensi menghasilkan produk-produk inovasi yang mempunyai nilai komersial.

“Diharapkan dengan adanya Makmal Teknologi Blockchain ini, ia dapat membantu FSKTM dan UM menghasilkan penerbitan berimpak tinggi hasil kerjasama penyelidik daripada pelbagai bidang.

“Kerjasama ini amat diperlukan supaya universiti dapat me­ningkatkan keupayaan sumber manusia dan menggunakan kepakaran daripada pihak-pihak luar yang relevan untuk pembangunan industri,” katanya pada majlis perasmian Makmal Teknologi Blockchain UM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd. Samad; Pensyarah Kanan Jabatan Sistem dan Teknologi Komputer FSKTM, Dr. Saaidal Razalli Azzuhri; Pengarah Urusan Ifcon Technology Sdn. Bhd., Nik Izwan Nik Kamil dan Pengarah Komersial Ifcon Technology Sdn. Bhd., Ahmad Aliff Ahmad Shariffudin.

Sementara itu, Ahmad Aliff berkata, selain daripada penubuhan makmal, Seminar Blockchain Kebangsaan yang diadakan se­rentak dengan perasmian makmal tersebut dengan kerjasama Ifcon Technology juga bertujuan membetulkan segala tanggapan salah mengenai blockchain.

Ujarnya, ramai beranggapan blockchain mampu menjerumuskan seseorang individu dalam dalam jenayah penipuan terutama melibatkan kewangan dan persepsi ini harus dibetulkan sekiranya negara mahu melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan.

“Sebenarnya blockchain adalah satu sistem yang lebih selamat dan ia tidak boleh digodam. Potensi kerjaya dalam bidang ini juga amat luas dan oleh sebab itu kami bekerjasama dengan UM untuk menjalankan penyelidikan berkenaan dengan teknologi ini,” katanya.