Majlis pemeteraian tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Abraham Liu.

Dalam majlis tersebut, UKM diwakili Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Ekhwan Toriman manakala Huawei diwakili Naib Presiden Perusahaan Perniagaan Kumpulannya, Jack Jiang.

Menurut Ekhwan, peranan Huwaei sebagai penyedia alat telekomunikasi gergasi mampu membantu universiti tersebut membangunkan bakat baharu dalam kalangan penuntut dan penyelidik.

“Menerusi kerjasama ini, Huawei akan menyediakan latihan industri kepada penuntut UKM, pensyarah dan penyelidik menerusi Sijil Jaringan Bersekutu Huawei (HCNA).

“Sinergi sumber manusia yang disediakan UKM dan sumber teknologi inovatif serta canggih daripada Huawei mampu menghasilkan kerjasama pintar antara kedua-dua entiti tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Terdahulu, Mary Yap merasmikan majlis penutup program kebolehpasaran graduan antara Huawei dan Kementerian Pendidikan Tinggi di sini.

Dalam majlis itu, sebanyak 240 graduan institusi pengajian tinggi awam menerima sijil skil juruteknik selepas berjaya menamatkan program latihan teknikal selama lima hari anjuran Huawei.

Sementara itu, Mary Yap berharap kerjasama seperti itu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan antara pihak industri dan universiti.

Katanya, kerjasama tersebut mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan sekali gus mengatasi isu graduan menganggur. - UTUSAN ONLINE