Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 di sini hari ini.

Menurut UMLand, UJP ditubuhkan untuk menerajui pembangunan Taman Perindustrian Halal Johor, yang dijangka akan menjadi taman perindustrian premium bio-halal yang pertama di Malaysia.

“Ini adalah pembangunan strategik untuk meletakkan Johor menjadi satu daripada taman perindustrian halal yang terbaik di dunia daripada segi kemudahan bertaraf dunia dan ekosistem halal,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MoU pertama ditandatangani antara UJP dan Johor Toyyiban Laboratories Sdn. Bhd. (JTLab) untuk merasmikan penubuhan sebuah makmal sains dan halal antarabangsa dalam dua peringkat pada 2017 dan 2018 dengan kemudahan inkubator piawaian antarabangsa di dalam Taman Perindustrian Halal Johor.

“Perjanjian itu adalah satu komitmen JTLab yang akan menyediakan perkhidmatan saintifik yang komprehensif untuk pasaran serantau dan antarabangsa di negeri Johor dengan nilai kira-kira RM20 juta.

“MoU kedua ditandatangani antara UJP dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) untuk pembelian hartanah pega­ngan bebas yang terletak di Taman Perindustrian Halal Johor. Pembelian ini termasuk enam unit Link-D dan Kilang Kluster bernilai kira-kira RM16.5 juta dan lima unit Shop-Office bernilai kira-kira RM4 juta,’’ ujarnya.

MoU ketiga ditandatangani antara UJP dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) untuk me­rasmikan kerjasama dan peranan SME Corp dalam pembangunan Taman Perindustrian Halal Johor untuk menjadikan ia sebagai platform yang kondusif untuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia. SME Corp akan memboleh­kan IKS memajak premis di Taman Perindustrian Halal Johor dengan pilihan untuk membeli pada masa akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan UMLand, Dennis Ng berkata, MoU itu menandakan satu langkah ke hadapan yang penting dalam menjadikan Taman Perindustrian Halal Johor menjadi taman industri bio-halal premium diiktiraf di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif J-Bio­tech, Wan Amir Jeffery berkata, pembangunan taman tersebut dilakukan secara positif dan ini di­cerminkan oleh MoU yang ditandatangani hari ini.

“JTLab, MAIJ dan SME Corp akan memainkan peranan pen­ting dalam Taman Perindustrian Halal Johor dalam merovolusikan platfom ini untuk perniagaan dan pelaburan dari seluruh dunia. Sebaliknya, Taman Perindustrian Halal Johor akan menjadi pemangkin pertumbuhan yang berjaya untuk seluruh Negeri Johor,” ujarnya.

Taman Perindustrian Halal Johor terletak kira-kira 15 minit dari Pelabuhan Pasir Gudang dan terletak berdekatan dengan Gate Timur Iskandar Malaysia. Sebagai tanah pegangan bebas, Taman Perindustrian Halal Johor mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.5 bilion dan akan dibangunkan secara berpe­ringkat yang berbeza dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif UJP, Mohd. Noor Abd. Salam berkata, antara komponen di dalam Taman Perindustrian Halal Johor adalah seperti pusat pemasaran serantau dan pusat penerangan maklumat, pembungkusan bersepadu, gudang dan pusat logistik sehenti serta makmal sains dan halal. – UTUSAN