UEFSB ialah anak syarikat milik penuh UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB), cabang pelaburan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk memanfaatkan kekuatan dan pengalaman masing-masing dalam membangunkan dan melaksanakan projek tenaga boleh baharu serta pengoptimuman tenaga.

“Kami sedang mengenal pasti peluang untuk memajukan loji tenaga fotovoltan solar berskala besar selain melaksanakan program kecekapan dan pengoptimuman tenaga serta memasang jana kuasa solar di bumbung bangunan terpilih di kampus-kampus UiTM di seluruh negara.

“Menerusi lebih 30 kampus di seluruh negara, UiTM berpotensi menjimatkan sehingga 30 peratus perbelanjaan tenaganya setahun,” menurut kenyataan bersama entiti berkenaan.

Yang turut hadir pada majlis tersebut pada 7 Mac lalu ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim; Naib Presiden Kanan Strategi Korporat Petronas, Mohamed Firouz Asnan; Ke­tua Pegawai Eksekutif kumpulan UiTM Holdings, Norzaimah Maarof dan Ketua Tenaga Baharu Petronas, Dr. Jay Mariyappan.

Mohd Azraai berkata, kerjasama itu akan mengu­kuhkan kelebihan daya saing UiTM dalam sektor pendidikan tinggi ke arah menjadi universiti utama pertumbuhan komersial yang cemerlang untuk masa depan lebih mapan.

UHSB kini memiliki loji kuasa fotovoltan solar berskala besar 61 megawatt (MW) di Gambang, Pahang yang memulakan operasi pada 8 Mac 2019 dan dijangka menjana lebih 80,000 MWh tenaga bersih setahun dan mencatat hasil sebanyak RM650 juta untuk tempoh 21 tahun.

UHSB juga telah memulakan pembangunan loji kuasa fotovoltan solar terbesar 31 MW di Pasir Gudang, Johor.

Loji solar itu apabila siap pada suku pertama 2020, dijangka menjana lebih 40,000 MWh tenaga bersih dan menyumbang pendapatan sebanyak RM315 juta dalam tempoh 21 tahun, dengan potensi mengelakkan pelepasan 28,000 tan karbon setiap tahun.

“Menjelang 2020, UiTM, melalui dua loji tenaga solar berskala besar dengan kapasiti gabungan sebanyak 92MW, akan menyumbang kepada hampir empat peratus pengeluaran tenaga boleh baharu Malaysia,” kata Mohd. Azraai. – BERNAMA