Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib tidak merasakan pihak pengurusan syarikat akan menerima tempias kerana dalam hal ini terdapat satu tadbir urus korporat yang jelas.

Katanya, pasukan pengurusan UEM Sunrise adalah profesional dan bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Lembaga Pengarah UEM Sunrise secara langsung dan Khazanah merupakan satu entiti yang berbeza.

“Model perniagaan Khazanah adalah de­ngan melabur di dalam syarikat seperti UEM Sunrise menerusi UEM Group Bhd. dan kami bertanggungjawab terhadap lembaga pe­ngarah kami sendiri,” katanya kepada pemberita dalam taklimat media di sini hari ini.

Sebanyak 66.06 peratus pega­ngan di dalam UEM Sunrise dimiliki oleh UEM Group yang merupakan milik penuh Khazanah.

Dalam perkemba­ng­­an lain, UEM Sunrise mengekalkan sasaran jualan seba­nyak RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 disebabkan sentimen pembelian yang positif.

Jelas beliau, kumpulan berada di landasan yang betul untuk merekodkan sasaran RM1.2 bilion mengambil kira hampir 70 peratus daripada jumlah sasaran itu sudah dicapai.

“UEM Sunrise menawarkan penjimatan kepada orang ramai dengan harga rumah serendah RM293,000 sebuah sempena u­lang tahun ke-50 syarikat pemaju hartanah berkenaan bermula 6 Ogos ini untuk tempoh waktu yang terhad.

“Tawaran penjimatan itu meliputi kira-kira 300 buah rumah kediaman bertanah dan tinggi di lokasi strategik termasuk di Cyberjaya dan Johor Bahru,” katanya.

Bakal pembeli turut boleh menikmati bayaran pendahuluan serendah RM1,000 bagi projek Bayu Angkasa di Iskandar Puteri, Johor dan RM5,000 bagi Verdi Eco-dominiums dan Symphony Hills di Cyberjaya.