Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd., Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, operasi perniagaan Australia kini menyumbang kira-kira 20 hingga 30 peratus kepada pendapatan syarikat bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2017.

Beliau berkata, UEM Sunrise juga sedang mengintai peluang bagi menambah bank tanahnya di Australia dan terbuka untuk mempertimbangkan pembelian tanah di kawasan lain misalnya seperti di Sydney.

Beliau berkata, syarikat kini memiliki sebanyak 5,260 hektar bank tanah dengan nilai pemba­ngunan kasar RM108 bilion setakat 2 Julai 2017.

“Kami tidak terhad kepada Melbourne, kami melihat beberapa kawasan di Australia tetapi dari segi saiz tanah, ia tidak besar kerana kebanyakan projek adalah projek bertingkat tinggi.

“Dua projek di Australia ketika ini menunjukkan kemajuan yang sangat baik dan saya yakin momentum itu dapat diteruskan untuk projek ketiga, Mayfair di St. Kilda yang akan dilancarkan pada Ogos depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pameran Zaha Hadid Architects di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua dan Pengarah Zaha Hadid Architects, Patrik Schumacher dan Ketua Pegawai Operasi UEM Sunrise, Raymond Cheah.

Pameran tersebut merupakan kerjasama pertama antara UEM Sunrise bersama Zaha Hadid Architects yang juga terlibat dalam rekaan bagi projek Mayfair.

Pameran tersebut berlangsung dari 10 hingga 26 Julai ini di White Box, Publika dan dibuka kepada orang awam.

Selain projek Mayfair, UEM Sunrise turut memiliki dua buah projek hartanah lain di Melbourne iaitu Aurora Melbourne Central dan Conservatory yang bernilai kira-kira RM3.19 bilion.

UEM Sunrise dijangka melancarkan lima buah projek untuk tahun kewangan semasa, satu di Australia dan empat lagi di Malaysia.