Pe­ngarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kira-kira dua projek akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, syarikat buat masa ini mempunyai simpanan tanah seluas 500 hektar di Kuala Lumpur dan terus giat mencari lokasi sesuai untuk dijadikan bank tanah.

“Dalam berdepan naik turun ekonomi, UEM Sunrise sentiasa fokus kepada sasaran pasaran bagi memastikan pertumbuhan yang mapan.

“UEM Sunrise menyasarkan jualan sebanyak RM1.2 bilion tahun ini berbanding RM1.3 bilion yang direkodkan tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan Arcoris Mont’Kiara di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Projek UEM Sunrise, Liong Kok Kit; Rakan Kerjasama Foster + Partners, Roland Schnizer dan Naib Ketua Foster + Partners, Jonathan Parr.

UEM Sunrise bekerjasama de­ngan Foster + Partners membangu­nkan projek komersial bercampur, Arcoris Mont’Kiara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion.

Reka bentuk projek itu dilaksanakan oleh Foster + Partners, firma seni bina dan reka bentuk berpangkalan di London, United Kingdom.
Projek berkenaan hampir siap sepenuhnya dan penyerahan projek dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Arcoris Mont’Kiara terdiri daripada lima komponen iaitu Arcoris Suites, Arcoris SOHO, Arcoris Re­sidences, Arcoris Plaza dan ­­Hyatt House.