Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Izzaddin Idris berkata, bagaimanapun UEM Group tidak mengintai peluang dalam sektor pembinaan sebaliknya berminat untuk terlibat bagi pembangunan projek mega berkenaan.

Menurutnya, projek tersebut dijangka memberi limpahan ekonomi bukan sahaja kepada negeri terlibat, malah koridor ekonomi terutama Iskandar Malaysia sudah pasti mendapat manfaat sekali gus merancakkan lagi perkembangan pembangunan di situ.

“Kita mempunyai kepakaran dan ia terbukti dengan keupayaan melaksanakan pelbagai projek sebelum ini dan sudah tentu kita berminat dengan projek HSR, namun kita tidak mahu terlibat dalam sektor pembinaan tetapi lebih kepada pembangunan.

“Buat masa ini, masih terlalu awal untuk memutuskan segmen yang boleh disertai. Apa pun kita tunggu tawaran tender dan butiran projek itu,” katanya selepas pelancaran Larian Amal sempena sambutan ulang tahun ke-50 UEM Group di sini hari ini.

HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura membabitkan pembinaan landasan berkembar sepanjang 350 kilo­meter dan apabila siap kelak berupaya mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 90 minit.

Dalam pada itu, Izzaddin percaya UEM Group mampu me­nyumbang secara positif kepada pembangunan projek tersebut termasuk memperluaskan pene­rokaan hartanah di Batu Pahat dan Muar selain di Iskandar Pute­ri menerusi pembinaan kediaman bertanah.

Tambahnya, UEM Group yakin kediaman seperti itu yang mempunyai tarikan tersendiri masih mendapat permintaan tinggi.

“Dalam tempoh enam bulan pertama ini, sentimen pembeli lebih cenderung kepada kediaman bertanah dan projek kita juga fokus kepada pembangunan seumpama itu,” katanya dan memberitahu UEM Group masih mempunyai tanah belum diba­ngunkan di sini seluas 2,800 ­hektar.