Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican berkata, sebahagian besar atau RM40 juta akan diguna pakai dalam mene­rapkan teknologi. automasi dan mekanisasi.

“UEM Edgenta komited untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi dan kos dengan mengguna pakai teknologi bagi menghasilkan margin yang mengurangkan kos antara 20 peratus hingga 30 peratus.

“Selain teknologi, capex ini juga akan diguna untuk mening­katkan kapasiti aset sedia ada, menggantikan aset tidak cekap, menaik taraf peralatan dan me­laksanakan idea inovatif,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-55 UEM Edgenta di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi UEM Edgenta, Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Kewa­ngan syarikat itu, Muhammad Noor Abd. Aziz Hashim.

Dalam sidang akhbar itu, UEM Edgenta mengumumkan dasar dividen baharu untuk pembayaran dengan nisbah sekurang-kurangnya 50 peratus sehingga 80 peratus berdasarkan keuntu­ngan selepas cukai dan kepenti­ngan tidak dikawal (PATANCI).

Menurut Azmir, perubahan terbabit adalah kenaikan berbanding nisbah pembayaran dasar dividen sebelum ini iaitu sehingga 70 peratus.

“Dasar yang dipertingkat ini adalah berasaskan kepada perniagaan UEM Edgenta dalam sektor teras iaitu penjagaan kesihatan, infrastruktur dan hartanah.

“Melalui fokus yang jelas, kedudukan tunai yang bersih dan dasar dividen yang teguh, ia akan mencapai prestasi tinggi yang akan memberikan pulangan yang mampan buat pemegang saham,” katanya.

Azmir memberitahu, tahun kewangan lalu merupakan tempoh penyusunan semula untuk UEM Edgenta berikutan pelupusan Opus International Consultants Ltd. (OIC) yang disempurnakan pada Disember 2017.

“Pelupusan yang dimuktamadkan pada harga menarik ini telah memperkemaskan strategi perniagaan serta mengukuhkan kedudukan kewangan UEM Edgenta.

“Ia membuka nilai pelaburan syarikat yang mencatatkan jumlah hasil tunai sebanyak RM463 juta dan keuntungan satu kali melalui pelupusan tersebut berjumlah RM274.9 juta,” katanya.