Pengarah Urusan Kumpulan UDA, Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, usaha mempelbagaikan produk dan perkhidmatan seumpa­ma itu adalah sebahagian daripada pelan perniagaan strategik UDA.

Katanya, ia akan dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, UDA Dayaurus Sdn. Bhd. (UDSB) yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PCO Lite Electrical Sdn. Bhd. (PCO Lite) yang bakal berkongsi kepakaran berhubung pengurusan bangunan dengan memfokuskan pada peng­ubahsuaian sistem pencahayaan.

“Amalan pengubahsuaian sistem pencahayaan ini menyumbang pada penjimatan tenaga menghampiri 50 peratus bagi setiap lekapan (fixture) setiap tahun, penambahan penjimatan tenaga sebanyak 10 sehingga 20 peratus akan berlaku sekiranya menggunakan sistem pencahayaan pintar.

“Melihat kepada penjimatan ini, ramai pemilik bangunan berminat menaik taraf kepada penggunaan sistem ini dan memperuntukkan bajet bagi pengubahsuaian tahunan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Ketua Pegawai Operasi UDSB, Shamsul Bahri Shamsudin manakala pihak PCO Lite diwakili Pengarah Urusannya, Lee Huei Chang.

Mula beroperasi sejak 1978, PCO Lite merupakan antara pengilang produk lampu terkemuka di Malaysia dengan memiliki 40 tahun pengalaman.

PCO Lite adalah pakar menghasilkan produk lampu serta aksesori elektrik untuk kegunaan dalam dan luar bangunan serta sudah menembusi pasaran luar negara.

UDSB adalah peneraju dalam bidang pengurusan fasiliti de­ngan pengalaman lebih dari 35 tahun dan kini mengendalikan lebih dua juta kaki persegi keluasan bangunan yang merangkumi premis komersial, ruang pejabat swasta dan kerajaan.

Antara bangunan yang sedang dan pernah diurus oleh UDSB adalah Bangunan Berkembar KLCC Petronas, Menara Platinum Felda, TNB Dua Sentral dan Wisma Darul Iman.