Salah satu usaha murni yang diambil adalah menyalurkan bantuan zakat kepada golongan asnaf.

Sehubungan itu, sebanyak RM30,000 disalurkan ke tiga buah institusi dengan setiap satunya menerima RM10,000.

uda

Radziah Mohamed Fadzil (tengah) menyerahkan zakat kepada pengetua Rumah Kesayangan, Wan Nor Azlin Wan Yacob (kanan) di Shah Alam baru-baru ini.

Tiga buah institusi yang menerima sumbangan zakat itu adalah Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah, Rasa, Selangor; Pusat Jagaan Rumah Kesayangan, Petaling Jaya, Selangor dan Syria Care.

Pengarah Urusan Kumpulan UDA, Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, agensi itu sentiasa mengambil langkah murni menyantuni golongan memerlukan dan menghulurkan bantuan.

“Sumbangan zakat ini bukan saja dapat meringankan beban tapi dalam masa yang sama mengeratkan hubungan serta mewujudkan keharmonian. Usaha tahunan CSR ini juga seiring dalam mengimbangkan perkembangan perniagaan kerana UDA tidak hanya fokus menyediakan perkhidmatan bertaraf antarabangsa, tetapi turut mengambil berat dan mendekati golongan memerlukan.

“Pendapatan optimum yang dijana turut dikongsi dengan golongan memerlukan,” katanya.

Penyerahan zakat itu disempurnakan oleh Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil ketika membuat kunjungan mesra bersama-sama Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan ke ketiga-tiga institusi dan menyerahkan cek sumbangan.

Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah yang terletak di Taman Keruing, Rasa, Selangor ini dihuni 40 kanak-kanak berusia sekitar 7 tahun hingga 18 tahun (25 kanak-kanak perempuan dan 15 kanak-kanak lelaki).

Segala sumbangan yang diterima pertubuhan ini kebiasaannya digunakan untuk membeli makanan dan perbelanjaan sekolah.

Pusat Jagaan Rumah Kesayangan pula menjadi tempat perlindungan bagi 30 kanak-kanak perempuan.

Ditubuhkan pada akhir 2009, rumah ini dihuni anak yatim dan fakir miskin dalam lingkungan enam tahun hingga 12 tahun.

Syria Care adalah sebuah pertubuhan tempatan yang menyalurkan sumbangan kepada penduduk Syria yang memerlukan. Pelbagai jenis bantuan disalurkan antaranya keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal, keperluan pendidikan untuk kanak-kanak, susu serta bantuan untuk musim sejuk seperti pakaian dan selimut.

Syria Care turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di Syria yang kehilangan ibu bapa pergolakan yang berlaku. - UTUSAN ONLINE