Program bual bicara yang mengangkat tema Diri Baharu Anda itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila hampir 150 orang peserta hadir bagi mendapat input, perkongsian pengalaman serta motivasi daripada enam penceramah yang berpengalaman.

Kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada graduan yang baru menamatkan pengajian dan berumur 30 tahun ke bawah. Antara faktor penarik kehadiran kumpulan tersebut kerana tajuk-tajuk ceramah yang disampaikan bertepatan dengan diri mereka seperti Apa Yang Majikan Cari, Kewangan Peribadi, Penjenamaan Peribadi dan Bagaimana Hendak Membina Rangkaian.

Rata-rata peserta yang hadir mahu mencari potensi diri selain menginginkan perubahan serta lonjakan dalam kerjaya mereka pada usia yang masih muda.

Seramai enam penceramah yang terdiri daripada ahli TVM sendiri iaitu G. D. Naidu, Koh Mui Han, Faisal Malik, Hanie Razaif-Bohlender, Noor Shahiwan Ismail dan Shadaitul Intan M. Zain bersama-sama berkongsi pengalaman, panduan dan menanam inspirasi kepada golongan muda.

Suasana program yang santai dan interaksi dua hala antara penceramah dengan peserta membuatkan program yang berlangsung selama dua jam itu terasa singkat. Setiap tajuk yang disampaikan berjaya dikupas dengan mendalam dan me­ngaitkannya contoh dengan diri peserta.

Antara mesej jelas yang cuba disampaikan oleh penceramah sepanjang program itu berlangsung ialah kesediaan untuk mengambil peluang dan membina rangkaian perhubungan (network) melalui media sosial termasuk LinkedIn.

Menurut Naidu, peluang ha­nya akan datang apabila ia di­cipta. Peluang datang dalam pelbagai bentuk antaranya inovasi baharu, penyelesaian masalah seharian dan perniagaan yang orang lain tidak mahu ceburi.

Katanya, peluang perlu dimu­lakan dengan rangkaian kenalan serta terlibat sama dalam proses berkenaan dengan menubuhkan syarikat permulaan sendiri.

Sementara itu, Intan turut menegaskan bahawa rangkaian yang besar akan membawa kepada perhubungan yang memberi manfaat.

Dalam pada itu, pengasas TVM yang juga kolumnis tetap Utusan Malaysia, Azleen Ab. Rahim berkata, berdasarkan kepada kejayaan TVM edisi pertama program berkenaan akan dite­ruskan dengan penganjuran empat kali setahun bermula 2019.