Hampir kesemua usahawan yang saya jumpa mempunyai corak permasalahan yang hampir sama. Produk yang amat bagus, dan berkualiti tinggi tetapi tiada siapa pun yang mengambil keputusan untuk membeli. Walaupun mempunyai jumlah pengikut lima angka di setiap media sosial yang ada, lebih ramai yang suka bertanya itu dan ini daripada membuat pesanan berbayar. Lebih ramai yang suka menderma klik Like dan Share daripada yang betul-betul membeli. Bagi saya tiada guna­nya mempunyai pengikut yang seramai 50,000 atau 250,000 sekalipun tetapi mempunyai jualan yang sedikit yang tidak boleh menampung kos bulanan syarikat. Nasihat saya ialah, tukar sedikit cara penulisan anda di kandungan atau bahan pemasaran yang ada untuk prestasi jualan yang lebih baik.

Setiap apa yang anda lakukan, letakkan diri anda sebagai pelanggan terlebih dahulu. Di poster mereka, status di media sosial dan juga di bahan-bahan pemasaran lain yang dibuat, saya mendapati mereka menulis sesuka hati. Mereka menceritakan apa yang mereka mampu buat, atau fungsi-fungsi yang ada pada produk yang mereka jual. Tidak ramai yang menulis tentang apa yang mampu dimanfaatkan oleh para pengguna sekiranya mereka membeli, atau apa yang mereka dapat. Sebagai pengguna, kita memang mementingkan kualiti setiap produk yang dibeli tetapi kita tidak akan membeli sekiranya kita tidak memahami apakah faedah yang bakal kita dapat jika kita membelinya. Jadi, apa yang anda tulis di setiap bahan pemasaran anda amat penting. Titikberatkan apa yang bakal dimanfaatkan oleh para pembeli daripada fungsi produk anda.

Gunakan perkataan yang mudah, tepat dan ringkas. Tidak perlu menggunakan ayat yang terlalu kompleks untuk menunjukkan yang kita tahu apa yang kita jual. Lagipun para pelanggan tidak akan memahaminya. Apabila mereka tidak memahami, perhatian mereka akan beralih arah kepada jenama lain. Jadi, ambil sedikit masa dan pilihlah perkataan dan ayat yang mudah, tepat dan ringkas untuk menceritakan sesuatu.

Idea-idea baharu akan muncul setelah anda laksanakan strategi kandungan anda. Kebanyakan dari usahawan ini lebih berminat membuat perancangan yang terlalu rapi daripada melaksanakan apa yang dirancang. Ini merugikan. Mereka tidak sedar akan wujudnya idea-idea baharu yang jauh lebih berkualiti sekiranya mereka mula melaksanakan sesuatu strategi yang dirancang. Ini kerana setiap idea yang datang itu tidak datang dalam bentuk yang menyeluruh, kecuali sekiranya kita berada di dalam perlaksa­naan idea tersebut. Sama juga dengan pembinaan ayat atau copywriting untuk kandungan pemasaran anda. Lakukan secara berterusan dan lihat lama-kelamaan anda akan dapat melihat penggunaan ayat yang lebih unik dan berkesan.

Mesra pelanggan setiap masa, dimana jua dan jangan terlalu serius. Beberapa pengguna akan mula menghantar pesanan secara terus melalui fungsi Direct Message yang ada di media sosial anda. Di sini, setiap ayat yang ditulis memainkan peranan penting dalam membuatkan mereka pertimbangkan keputusan untuk membeli dari anda ataupun tidak. Jadi, pastikan ayat-ayat yang ditulis adalah mesra yang menjurus kepada mengajak mereka mencuba produk anda dahulu. Ajakan anda itu perlu tidak terlalu mendesak mereka, tetapi lakukannya secara berjenaka ataupun berseloroh. Sekiranya mereka dapati anda terlalu mendesak, mereka akan lari tinggalkan anda.

Setiap video dan gambar perlu disertakan dengan ayat-ayat yang sesuai. Ramai yang lebih suka memuat naik gambar dan video yang memaparkan tentang produk masing-masing, yang disertakan dengan penulisan yang ala-ala ringkas sahaja. Ini tidak membantu. Anda perlu berfikir sejenak dan me­nulis tentang produk tersebut yang bakal membuatkan emosi para pelanggan berubah. Buatkan mereka ketawa, senyum, sedih, marah, gembira, kecewa dan terharu. Sekiranya ini berlaku, gambar atau video anda tadi berkemungkinan besar akan dikongsi dan juga mampu membuatkan produk anda dipertimbangkan untuk dibeli.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com