Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmar Talib berkata, ada antara pelabur tersebut yang kebanyakannya melibatkan pemain utama dalam industri kewangan berhasrat untuk memindahkan operasi mereka di sini atau mempunyai bangunan dengan nama sendiri.

Katanya, bagi pelabur asing pula setakat ini, TRX menarik pelabur dari rantau Asia, Jepun dan negara-negara Eropah.

“Selepas kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan meneruskan projek ini, ia terus melonjakkan minat yang tinggi dalam kalangan pelabur terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Malah, kerajaan juga sudah menjelaskan bahawa kami adalah entiti yang berasingan daripada 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB).

“Untuk menarik mereka (pelabur) bukan satu perkara yang mudah ke­rana pelabur antarabangsa ini amat serius dan mereka perlu melalui proses usaha wajar sebelum membuat sebarang keputusan.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan secara terperinci pelabur yang terlibat kerana masih di peringkat perbincangan,” katanya dalam taklimat media mengenai perkembangan TRX di tapak projek itu di sini hari ini.

Minggu lalu, Kementerian Kewa­ngan mengumumkan suntikan peruntukan berjumlah RM2.8 bilion kepada TRX City untuk melengkapkan pembangunan projek tersebut.

Suntikan tambahan itu akan me­ningkatkan jumlah besar peruntukan kerajaan Persekutuan kepada TRX City sebanyak RM6.5 bilion. Penyiapan TRX akan membolehkan projek tersebut mencapai nilai penuhnya sekurang-kurangnya RM7.6 bilion.

TRX City adalah satu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn. Bhd. iaitu satu anak syarikat milik penuh 1MDB.

Atas nasihat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, TRX City telah dipindah milik kepada Kementerian Kewangan pada 31 Mac tahun lalu.

Kerajaan setakat ini telah menyuntik sebanyak RM3.69 bilion kepada TRX City bagi membangunkan projek tersebut yang dianggarkan mempu­nyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM40 bilion.

Dalam tempoh itu juga, ia menyaksikan tujuh plot tanah TRX berjumlah RM2.88 bilion telah dijual kepada Lendlease, Tabung Haji, Mulia Group, Affin Bank, WCT, IJM Corp dan HSBC.

Terletak di kawasan seluas 28.33 hektar, 1MDB pada mulanya membeli tanah tersebut daripada kerajaan de­ngan nilai RM302.38 juta pada 2010.

Menurut Azmar, fasa pertama TRX melibatkan menara The Exchange 106 dan Prudential akan dibuka pada suku pertama 2019.

“Setakat ini, 80 peratus daripada infrastruktur fasa pertama telah disi­apkan. Kami jangkakan kedua-dua bangunan siap sepenuhnya dalam tempoh itu,” katanya.

Beliau berkata, fasa kedua bagi infrastruktur TRX pula akan melibatkan plaza awam, jalan raya dan Central Park seluas 4.05 hektar yang dijangka siap 2020 seiring dengan pembukaan Exchange Mall dan ibu pejabat HSBC Malaysia dan Affin Bank.

Ditanya mengenai kemungkinan pertukaran nama TRX, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan.

“Bagi TRX City, kami hanya memastikan projek ini dapat disiapkan, sebarang keputusan berkenaan hal itu terpulang kepada mereka,” katanya.