Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, TRX juga mempunyai beberapa pelabur lain, antaranya China Construction Bank dan Lend Lease.

“Atas sebab itu, kerajaan tidak akan menangguhkan sebarang projek pembangunan di TRX memandangkan keseluruhan pelan utama telah diluluskan sebelum ini.

“Saya memberikan contoh IJM Corporation Bhd. (IJM), mereka membeli tanah di sini dan membuat pembinaan yang akhirnya berjaya menarik penyewa se­perti Prudential yang menyewa 84 peratus daripada keseluruhan bangunan ini kerana kawasannya yang strategik,” katanya selepas majlis penyempurnaan binaan bangunan setinggi 27 tingkat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Soam Heng Soon dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd., Datuk Azmar Talib.

Setakat ini, 70 peratus daripada kawasan di TRX telah diko­mersialkan dan terus menarik minat pelabur dan penyewa daripada kalangan agensi tempatan dan antarabangsa termasuk beberapa bank utama dunia dan institusi kewangan.

Projek pembangunan ikonik TRX itu melibatkan kawasan pembangunan seluas 28 hektar di tengah-tengah pusat bandar raya dengan keseluruhan tempoh pembangunan selama 15 tahun.

Bangunan pejabat itu dibangunkan IJM di TRX dengan kerja-kerja struktur utama bermula sejak Januari 2017 dan mengambil masa 10 bulan. Projek itu melibatkan kira-kira 500 pekerja pembinaan.

Pada November lalu, IJM mengumumkan untuk membuat pelaburan dan membangunkan menara pejabat bernilai RM500 juta yang akan menjadi ibu pejabat syarikat insurans antarabangsa, Prudential.

Projek tersebut yang dijangka siap pada Disember 2018 telah 84 peratus disewakan. Prudential dijangka berpindah ke bangunan tersebut pada 2019.

Mengenai kebimbangan berlakunya lebih banyak unit tidak terjual, Johari berkata, pemaju harus mengetahui keperluan pasaran dan memasarkan produk mereka bagi mengelakkan berlaku lebih banyak lambakan terutama melibatkan ruang pejabat dan pusat beli-belah.

Ini kerana, katanya, terdapat pemaju yang tidak mengambil kira bekalan sedia ada dan membuat pembinaan baharu dengan sewenang-wenangnya.

“Kerajaan mengambil kira banyak faktor apatah lagi terdapat laporan yang menunjukkan 13 juta kaki persegi pusat beli-belah dan 42 juta kaki persegi bagi ruang pejabat tidak didiami menjelang 2018.

“Bagaimanapun, jika pemaju mengenal pasti ada kawasan tertentu yang mengalami masalah kurang bekalan, tidak ada masalah jika mereka kemukakan cadangan kepada kementerian dan memberi justifikasi mereka terhadap pembangunan di kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Heng Soon berkata, secara keseluruhan, IJM terlibat dengan tiga projek pembangunan di TRX iaitu reka dan bina bangunan HSBC dengan kontrak bernilai RM392 juta, Menara Prudential dan kerja-kerja struktur utama dan asas oleh Affin Bank.