Rafael Munoz Moreno
 

Ketua Penganalisis Ekonomi Kanan Bank Dunia (Malaysia), Dr. Rafael Munoz Moreno (gambar) berkata, proses membiasakan diri terhadap ISDS penting terutama bagi mengurangkan risiko negara ini atau syarikat-syarikat Malaysia didakwa ke peringkat ISDS.

Malah katanya, negara ini juga perlu mengukuhkan lagi dasar persaingan di dalam pasaran domestik untuk mengelakkan monopoli industri termasuk oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) sebagai persediaan menghadapi TPPA yang lebih terbuka.

“Selain sebagai persediaan untuk menghadapi pelaksanaan TPPA dalam tempoh dua tahun lagi, kedua-dua langkah ini dilihat sebagai pendedahan untuk perjanjian-perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain yang mungkin ditandatangani pada masa hadapan.

“Amalan ini penting memandangkan Malaysia sangat bergantung kepada keterbukaan perdagangan dan pelaburan. Kira-kira 40 peratus pekerjaan di negara ini berkaitan dengan industri eksport dan nilai gaji pekerja yang disumbangkan oleh aktiviti eksport telah mencecah AS$54 bilion (RM217 bilion),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan laporan Pemerhatian Ekonomi Malaysia: Perjanjian Perdagangan yang dibuat oleh Bank Dunia di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.

Selain isu berkaitan kepentingan ekonomi bumiputera, perlindungan terhadap GLC Malaysia serta ISDS turut menjadi antara isu utama yang dihadapi Malaysia sebelum menandatangani TPPA. Ia menjadi kerisauan memandangkan tahap persaingan daripada syarikat-syarikat negara maju yang lebih kompetitif dan telah membiasakan diri terhadap ISDS.

Dalam pada itu, Rebbeca berkata, TPPA mungkin tidak akan diteruskan sekiranya Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Donald Trump berjaya memenangi pemilihan presiden negara itu dan mahu membincangkan semula kandungan TPPA.

“Perbincangan semula TPPA tidak akan berlaku. Mungkin keperluan perjanjian ini dinilai semula melibatkan anggota yang lain dan pasti ada rancangan lain untuk berdepan sebarang perubahan. Tiada negara yang lebih berkuasa dari negara lain di dalam perjanjian ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan berkata, perjanjian perdagangan berkenaan mampu memberi dorongan yang diperlukan untuk merangsang ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Rancangan Malaysia ke-11 menekankan daya saing dan produktiviti yang merupakan bahan penting untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.

“Perjanjian perdagangan ini boleh membuka akses pasaran bagi barangan dan perkhidmatan, memudahkan pelaburan langsung asing jenis baharu, menggalakkan lebih banyak persaingan, menyediakan akses kepada kemahiran dan teknologi selain mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang lebih baik untuk pekerja Malaysia,” katanya.