Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Mohamad Madani Sahari berkata, langkah itu sekali gus memberi peluang yang luas kepada pengeluar peralatan tulen (OEM) tempatan untuk mema­suki 11 pasaran negara TPPA lain.

Malah katanya, pengeluar OEM juga bakal memperoleh manfaat besar melalui pemindahan teknologi dan pembangunan sumber manusia dengan negara maju dalam TPPA seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Kanada.

“Langkah mewajibkan sebanyak 55 peratus komponen dalam kende­raan adalah selaras dengan peraturan negara asal (ROO) sebelum kenderaan itu dapat dieksport dan pada masa sama, harga peralatan dan komponen ini juga akan menjadi lebih berpatutan kerana kita me­rupakan salah sebuah negara TPPA.

“Sehubungan itu, selain dapat menjual komponen kenderaan di negara ini, syarikat tersebut juga boleh menembusi pasaran negara TPPA lain termasuk empat negara terkenal dalam industri ini iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru,” katanya dalam majlis penerangan mengenai TPPA terhadap industri automotif di MAI di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ke­tua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk J. Jayasiri.

Mengulas lebih lanjut, katanya, pengeluar OEM tempatan mempunyai kemampuan besar untuk menembusi pasaran antarabangsa apabila berdasarkan data terdapat sebanyak 10 syarikat tempatan dan lima syarikat multinasional yang berpangkalan di sini telah berjaya melebarkan sayap ke Amerika Syarikat.

Katanya, pada tahun lalu sahaja syarikat OEM itu telah mencatatkan jualan sebanyak RM802 juta untuk pasaran Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, ditanya impak kepada pengguna selepas TPPA dilaksanakan, katanya, tarif duti import bagi barang-barang yang diimport akan dimansuhkan, ia sekali gus dapat mewujudkan sebuah ekosistem perniagaan yang kompetitif termasuk kepada sektor automotif.

“Pengguna akan mendapat lebih banyak pilihan dari segi model ditawarkan dan kuasa pasaran akan memainkan peranan yang lebih penting dari segi penentuan harga kereta yang lebih kompetitif, mempunyai ciri keselamatan tinggi dan selesa,” katanya.