Naib Presiden Eksekutif Toyota, Shigeki Terashi (gambar) berkata, pihak­nya perlu mela­bur lebih AS$13 bilion (RM53.03 bilion) bagi membangunkan dan membuat bateri kenderaan dalam usaha mencapai sasaran jualan tahunan bateri EV dan kenderaan hibrid berjumlah satu juta buah menjelang tahun 2030.

Katanya, sebagai pengeluar kenderaan kedua terbesar dunia mengikut jumlah jualan selepas Volkswagen AG, Toyota perlu mempercepatkan pembangunan bateri setelah peraturan kadar pelepasan karbon kenderaan global yang semakin ketat.

“Kami perlu meluaskan penawaran EV memandangkan Toyota merupakan pengeluar kenderaan bagi pasaran global sekali gus harus meningkatkan usaha bagi kapasiti pembuatan bateri yang lebih berkuasa.

“Toyota juga akan memperke­nalkan model berasaskan bateri di China, diikuti bagi pasaran Jepun, India, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah,” katanya dalam taklimat di sini baru-baru ini.

Pakar-pakar industri menerusi data daripada Agensi Tenaga Antarabangsa menjangka kende­raan elektrik-petrol hibrid dan EV menggunakan bateri akan me­rangkumi 26 peratus daripada kadar jualan kenderaan global menjelang 2030 berbanding hanya satu peratus tahun lalu.

Toyota telah meningkatkan usaha bagi pembangunan EV sejak tahun lalu dengan mengumumkan untuk menambah kenderaan EV dalam barisan produk terbarunya sekali gus mengejutkan beberapa pemain industri lain yang selama ini menumpukan kepada kenderaan hibrid.

Pengeluar kende­raan dari Jepun itu menyasarkan EV bakal merangkumi separuh daripada jualan keseluruhan kenderaan globalnya menjelang 2030 apabila Toyota berhasrat untuk menjual 4.5 juta kenderaan elektrik-petrol dan hibrid setahun.

Minggu lalu, Toyota memaklumkan, pihaknya dan Panasonic sedang mempertimbangkan untuk membangunkan bateri EV generasi terbaharu termasuk bateri pejal selain bekerjasama dengan Mazda Motor Corp. dan Suzuki Motor Corp. bagi membangunkan EV. Buat masa ini, bekalan bagi bateri EV dikuasai oleh beberapa pengeluar termasuk LG Chem dan Panasonic.

Terashi berkata, jalinan kerjasama dengan Panasonic itu mungkin tidak cukup untuk memenuhi ke­perluan bateri EV menjelang 2030 dan Toyota terbuka untuk menambah kerjasama lain. – REUTERS